Seorang remaja yang bernama Aldi sedang bekerja sendirian di atas sebuah kapal rakit sejauh 125 kilometer dari Pulau Sulawesi, Indonesia. Tiba-tiba angin yang sangat kuat telah menyebabkan tali pada kapal rakit Aldi terlepas daripada ikatan dan menyebabkan dia dibawa arus tanpa arah tujuan. Selama 49 hari, kapal rakit Aldi hanyut di tengah laut. Setiap kali dia ternampak kapal laut yang lain, dia memasang lampunya untuk cuba mendapatkan perhatian anak kapal, tetapi dia tidak berjaya. Sejumlah 10 buah kapal laut telah melepasi remaja yang nyawa-nyawa ikan itu sebelum dia diselamatkan akhirnya.
Yesus memberikan satu perumpamaan kepada seorang “guru Taurat” (Lukas 10:25) tentang seorang yang perlu diselamatkan. Dua orang—seorang imam dan seorang Lewi—melihat seorang lelaki yang cedera sewaktu mereka dalam perjalanan. Tetapi mereka tidak berhenti untuk menolong dia, tetapi “menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan” (ayat 31-32). Kita tidak diberitahu sebabnya. Kedua-dua orang itu sepatutnya warak dan pasti maklum akan Hukum Taurat untuk mengasihi sesama mereka (Imamat 19:17-18). Mereka mungkin berfikir bahawa perbuatan ini terlalu bahaya. Atau mereka tidak mahu melanggar Hukum Taurat tentang hal menyentuh mayat, yang menjadikan mereka najis untuk sebarang upacara keagamaan dan tidak dapat melayani di Rumah Tuhan. Sebaliknya, seorang Samaria—yang dibenci oleh orang Yahudi—melakukan apa yang mulia. Dia melihat bahawa orang itu memerlukan pertolongan, maka dia pergi menolong orang tersebut tanpa memikirkan dirinya.
Yesus mengakhiri pengajaran-Nya dengan perintah bahawa para pengikut-Nya harus “pergilah dan berbuatlah demikian!” (Lukas 10:37). Semoga Tuhan memberikan kita kerelaan untuk mengambil risiko demi menjangkau dan menolong orang lain dengan kasih.