Sam memeriksa akaun pencennya sebanyak 2 kali setiap hari. Dia telah menyimpan wang selama 30 tahun, dan dengan peningkatan untung dalam pasaran saham, semua ini cukup untuk persaraannya, selagi saham tidak turun. Ketakutan ini membuat Sam selalu merisaukan bakinya.
Yeremia memberi amaran tentang hal ini: “Tuhan-tuhan penduduk Yehuda banyak sekali, sebanyak kota mereka. Penduduk Yerusalem mendirikan mazbah untuk mempersembahkan korban kepada Dewa Baal yang menjijikkan itu; mazbah yang didirikan mereka sebanyak jalan-jalan di Yerusalem” (11:13).
Penyembahan berhala di Yehuda cukup memeranjatkan. Mereka tahu bahawa Tuhan ialah Penguasa segala-galanya. Kenapa mereka masih menyembah tuhan yang lain? Mereka sebenarnya membuat pertaruhan. Mereka memerlukan Tuhan untuk hidup kekal, kerana hanya Tuhan yang benar dapat membangkitkan mereka daripada kematian. Tetapi bagaimanakah dengan keadaan sekarang? Dewa kafir menjanjikan kesihatan, kekayaan dan kesuburan; jadi kenapa tidak berdoa kepada mereka juga, manalah tahu?
Adakah anda boleh melihat bagaimana penyembahan berhala di Yehuda juga merupakan cubaan bagi kita? Memang baik untuk memiliki bakat, pendidikan dan wang. Tetapi jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin mengalihkan keyakinan kita kepada hal-hal tersebut. Kita tahu bahawa kita memerlukan Tuhan apabila kita mati nanti, dan kita memohon agar Dia memberkati kita sekarang. Tetapi kita mungkin juga bersandar kepada dewa-dewa kecil ini, manalah tahu.
Siapakah yang anda percaya? Berhala ‘manalah tahu’ tetap berhala. Bersyukurlah kepada Tuhan untuk berkat-berkat-Nya yang berlimpah, dan nyatakan kepada-Nya bahawa anda tidak akan bersandar pada mana-mana berkat itu. Sebaliknya iman anda bersandar sepenuhnya pada-Nya.