Lela kini sakit tenat kerana penyakit kanser. Suaminya Timothy, tidak dapat memahami mengapa Tuhan yang penuh kasih mengizinkan isterinya menderita. Lela telah melayani-Nya dengan setia sebagai guru Alkitab dan pembimbing kepada banyak orang. “Mengapakah Engkau mengizinkan ini berlaku?” dia bertanya sambil menangis. Namun Timothy terus setia dalam perjalanannya dengan Tuhan.
“Kalau begitu, mengapakah kamu masih percaya kepada Tuhan?” saya bertanya dengan jujur. “Apakah yang membuat kamu tidak berpaling daripada-Nya?”
“Kerana apa yang telah berlaku sebelum ini,” jawab Timothy. Walaupun dia tidak dapat “melihat” Tuhan sekarang, dia ingat akan masa ketika Tuhan telah menolong dan melindungi dia. Ada tanda-tanda menunjukkan bahawa Tuhan masih wujud untuk menjaga keluarganya. “Saya tahu Tuhan yang saya percaya akan menjawab dengan cara-Nya sendiri,” jawabnya.
Kata-kata Timothy memperlihatkan kepercayaan Yesaya dalam Yesaya 8:17. Walaupun dia tidak dapat merasakan hadirat Tuhan semasa umatnya sedang menghadapi serangan musuh, dia tetap “percaya dan berharap kepada-Nya.” Dia percaya kepada Tuhan kerana tanda-tanda hadirat-Nya yang berterusan (ayat 18).
Ada masanya kita mungkin berasa bahawa Tuhan seakan-akan tidak menyertai kita dalam kesusahan kita. Itulah masanya kita lebih perlu bergantung pada apa yang kita dapat lihat melalui pekerjaan-Nya dalam kehidupan kita, pada masa lalu dan masa kini. Perkara-perkara sedemikian menjadi peringatan yang jelas daripada Tuhan yang tidak kelihatan—Tuhan selalu menyertai kita dan akan menjawab menurut masa dan cara-Nya sendiri.
ILHAM
Komitmen Yesaya untuk “menanti-nantikan Tuhan” (Yesaya 8:17, ATB) merupakan satu nubuat penuh amaran kepada Raja Ahas, semasa perang Siro-Efraim. Aram (Syria kini) dan Israel menyerang kerajaan Yehuda untuk menekan Yehuda supaya bersekutu untuk menyerang Asyur (Yesaya 7:1-2). Raja Yehuda, Raja Ahas menolaknya dan sebaliknya mempertimbangkan untuk bersekutu dengan Asyur.Dalam Yesaya 8, Yesaya memberi amaran kepada Ahas bahawa jika dia bergantung pada penyekutuan dengan Asyur, dan bukan pada Tuhan, Tuhan akan membiarkan umat-Nya ditakluki oleh Asyur (ayat 4-7, 11-13). Dalam ayat 18, Yesaya menyebut namanya sendiri dan nama kedua-dua anaknya sebagai tanda yang melambangkan penghakiman dan penebusan Tuhan yang akan datang. Maher-Syalal-Hash-Bas (8:3, ATB) bererti “rampas cepat” (8:3) dan Syear Yasyub (7:3) bermakna “saki-baki akan pulang.” Nama Yesaya sendiri bererti “Tuhan itu keselamatan”—menunjukkan penekanan Yesaya bahawa walaupun dengan ada penghakiman, Tuhan berjanji untuk membawa penebusan dan penyembuhan kepada umat-Nya akhirnya.
Untuk belajar lebih mengenai kitab Yesaya, layari bit.ly/Book_of_Isaiah (bahasa Inggeris).