Anak perempuan saya telah mula menaruh minat terhadap Nancy Drew, seorang wirawati dalam buku cerita. Dalam masa 3 minggu yang lalu, dia sudah membaca sekurang-kurangnya sedozen buah buku yang mengisahkan gadis tersebut. Ia bermula dengan perasaan minatnya terhadap cerita-cerita detektif. Secara jujur, saya juga menyukai cerita tentang Nancy Drew, dan jilid-jilid berbalut warna biru yang dibaca oleh ibu saya pada tahun 1960-an masih mengisi rak buku di rumahnya.
Apabila melihat minat ini diturunkan, ia membuat saya berfikir apa itu perkara lain yang sedang saya turunkan. Dalam suratnya yang kedua kepada Timotius, Paulus menulis bahawa apabila dia memikirkan Timotius, dia diingatkan oleh “iman yang sungguh-sungguh” yang ada dalam nenek dan ibu Timotius. Saya mengharapkan, seperti minat anak perempuan saya terhadap cerita misteri, dia juga akan mewarisi iman—bahawa dia akan menyembah Tuhan sebagaimana datuk dan neneknya, berdoa dan berpegang pada “hidup yang dijanjikan oleh Allah” (2 Timotius 1:1).
Saya juga melihat harapan yang ada di sini untuk mereka yang tidak mempunyai ibu bapa atau datuk nenek yang mengenal Yesus. Walaupun bapa Timotius tidak disebut, Paulus memanggil Timotius “anakku yang aku kasihi” (ayat 2). Bagi mereka yang bukan berasal daripada keluarga Kristian, mereka masih boleh mencari ibu bapa dan datuk nenek di gereja—orang yang akan menolong kita memikirkan cara untuk “hidup suci” (ayat 9, AVB) dan menerima kurnia Tuhan yang telah diberikan-Nya kepada kita, iaitu “kuasa, kasih, dan kekuatan untuk mengawal diri” (ayat 7). Sesungguhnya, kesemua kita memiliki warisan yang indah.