Doktornya berkata bahawa retinanya yang tertanggal tidak boleh dirawati lagi. Tetapi selepas menjalani kehidupan selama 15 tahun tanpa penglihatan—mempelajari sistem tulisan sentuh, Braille, serta menggunakan tongkat dan anjing terlatih—kehidupan seorang wanita di Montana diubah apabila suaminya mengutarakan soalan yang mudah kepada seorang lagi doktor mata: Dapatkah dia dirawati? Ya, jawab doktor itu. Kemudian doktor tersebut mendapati bahawa wanita itu sebenarnya mempunyai masalah mata yang biasa—katarak, yang kemudian dikeluarkan daripada mata kanannya. Semasa penutup matanya dibuka pada keesokan hari, penglihatannya sembuh. Pembedahan kedua untuk mata kirinya juga berjaya.
Satu soalan yang mudah juga telah mengubah kehidupan Naaman, seorang panglima tentera yang sangat berkuasa tetapi berpenyakit kusta. Naaman sangat marah terhadap arahan nabi Elisa untuk “mandi tujuh kali di Sungai Yordan, maka penyakitnya akan sembuh” (2 Raja-Raja 5:10). Namun, hamba-hamba Naaman bertanya kepada pemimpin tentera itu soalan yang mudah: “Tuan, jika nabi itu menyuruh tuan melakukan perkara yang susah, tentu tuan akan melakukannya” (ayat 13). Setelah diyakinkan, Naaman membenamkan dirinya di sungai dan “tubuhnya menjadi sihat semula seperti tubuh seorang kanak-kanak” (ayat 14).
Dalam kehidupan kita, ada kalanya kita bergelut dengan masalah kerana kita tidak bertanya kepada Tuhan. Adakah Engkau boleh menolong? Adakah aku harus pergi? Adakah Engkau akan memimpin aku? Dia tidak memerlukan soalan yang rumit daripada kita barulah dapat menolong kita. Tuhan berjanji kepada umat-Nya “Sebelum mereka habis berdoa, Aku sudah mengabulkan doa mereka” (Yesaya 65:24). Oleh itu, pada hari ini, panjatkan sahaja permohonan anda kepada Tuhan.