Gerrits, iaitu abang suami saya tinggal lebih kurang 1.6 km jauhnya di pergunungan Colorado. Meskipun dengan jarak sedemikian, Gerrits tetap merupakan ahli keluarga yang sentiasa sangat disayangi kerana sikapnya yang baik hati dan lucu. Seingat saya, adik-beradiknya telah berjenaka tentang statusnya sebagai anak yang paling disayangi di mata ibunya. Beberapa tahun yang lalu, mereka juga menghadiahinya sehelai baju dengan perkataan yang tertulis padanya, “Saya paling disayangi ibu”. Walaupun kesemua kita berasa seronok dengan jenaka antara adik-beradik kita, namun hal berat sebelah bukanlah satu perkara yang lucu.
Dalam Kejadian 37, kita membaca tentang Yakub yang memberikan anaknya Yusuf sehelai jubah yang berwarna-warni—tanda kepada anak-anaknya yang lain bahawa Yusuf adalah istimewa (ayat 3). Tanpa maksud tersembunyi, jubah itu membawa mesej: “Yusuf, anak yang paling saya sayangi.”
Sikap berat sebelah boleh merosakkan hubungan kekeluargaan. Ibu Yakub, Ribka menyayangi dia melebihi abangnya Esau, yang mengakibatkan konflik di antara dua beradik ini (Kejadian 25:28). Masalah hubungan ini berterusan apabila Yakub lebih menyayangi isterinya Rahel (ibu Yusuf) berbanding isterinya Lea, yang mengakibatkan perpecahan dan sakit hati (29:30-31). Sudah pasti sikap ini merupakan punca tidak sihat yang menyebabkan saudara-saudara Yusuf tidak menyukainya sehingga mereka merancang untuk membunuhnya (Kejadian 37:18).
Dalam hal hubungan, ada kalanya kita berasa sukar untuk bersikap objektif. Tetapi matlamat kita mestilah melayani semua orang tanpa sikap berat sebelah dan mengasihi semua orang seperti Bapa mengasihi kita (Yohanes 13:34).