Jangan putus asa. Buatlah orang tersenyum. Anda hebat. Yang penting bukan dari mana anda datang—melainkan ke mana anda pergi. Sesetengah budak sekolah di Virginia Beach, Virginia mendapati bahawa mesej ini dan mesej-mesej lain ditulis pada buah-buah pisang di kantin. Pengurus kafeteria, Stacey Truman, mengambil masa untuk menulis kata-kata dorongan pada buah pisang, yang digelar oleh anak-anak sebagai “pisang yang bercakap”.
Tindakan yang penuh kasih ini mengingatkan saya tentang hati Barnabas terhadap anak-anak rohani di kota purba Antiokhia (Kisah Rasul-Rasul 11:22-24). Barnabas terkenal kerana kemampuannya untuk mendorong orang lain. Dikenali sebagai orang yang baik, penuh dengan iman dan Roh Kudus, dia mendorong orang percaya yang baru “supaya tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati” (ayat 23). Saya membayangkan bahawa dia juga pernah meluangkan masa dengan mereka yang dia ingin memberi pertolongan, sambil mengungkapkan kata-kata seperti: Terus berdoa. Percayalah kepada Tuhan. Kekal dekat dengan Tuhan ketika hidup ini sukar.
Orang yang baru percaya seumpama kanak-kanak yang memerlukan banyak dorongan. Mereka penuh dengan potensi. Mereka sedang menemukan apa yang boleh dilakukan mereka. Mereka mungkin belum menyedari apa yang mahu dilakukan Tuhan melalui hidup mereka. Musuh sering kali bekerja lebih masa untuk menghalang pertumbuhan iman mereka.
Kita yang sudah berjalan dengan Yesus dalam tempoh masa yang panjang pasti memahami betapa sukarnya hidup bagi Yesus. Semoga kita dapat memberi serta menerima dorongan, apabila Roh Kudus memimpin dan mengingatkan kita tentang kebenaran rohani.