“Kami berada di perpustakaan, dan kami boleh melihat api di luar sana!” katanya dalam keadaan takut. Kami dapat merasai ketakutan itu melalui suaranya. Kami mengenal suara tersebut—suara anak perempuan kami. Pada waktu yang sama, kami tahu bahawa kampus kolejnya adalah tempat yang paling selamat bagi dia serta hampir seramai 3000 orang pelajar yang lain. Kebakaran yang berlaku di Woolsey pada tahun 2018 telah merebak dengan begitu cepat daripada jangkaan oleh sesiapa pun—lebih-lebih lagi bagi pihak anggota bomba. Cuaca panas yang mencapai rekod dan keadaan kering di lembah California, berserta angin legenda di Santa Ana, merupakan percikan-percikan kecil yang diperlukan untuk akhirnya membakar seluas 97000 ekar tanah, memusnahkan lebih daripada 1600 buah bangunan, dan meragut nyawa seramai tiga orang mangsa. Dalam gambar yang diambil selepas api tersebut berjaya dibendung, pantai yang biasanya subur itu kelihatan umpama permukaan bulan yang kontang.

Dalam kitab Yakobus, penulis menyebutkan beberapa benda yang kecil tetapi kuat: kekang pada mulut kuda dan kemudi kapal (3:3-4). Walaupun benda-benda yang tersebut adalah sesuatu yang biasa, contoh-contoh ini agak asing bagi kita. Tetapi dia kemudian menyebutkan sesuatu yang diketahui semua orang, sesuatu yang kecil dan dimiliki oleh semua orang—lidah. Sementara fasal ini ditujukan khusus kepada para guru (ayat 1), kita boleh menerapkan contoh ini dalam hidup kita dengan segera. Lidah, walaupun saiznya kecil, tetapi ia boleh mendatangkan bahaya.

Lidah kita yang kecil sangat berkuasa, tetapi Tuhan kita yang besar adalah lebih berkuasa. Pertolongan-Nya pada setiap hari memberi kita kekuatan untuk menguasai lidah kita.