Oleh sebab kekecewaan dan menghendaki sesuatu yang lebih bermakna dalam hidup, Leon meninggalkan kerjayanya di firma kewangan. Kemudian pada suatu hari, dia melihat seorang yang tiada tempat tinggal sedang memegang papan tanda dan berdiri di tepi jalan: KEBAIKAN IALAH UBAT YANG TERBAIK. Leon berkata, “Kata-kata itu telah meninggalkan kesan yang amat besar dalam hidup aku.”
Leon memutuskan untuk memulakan hidup baru dengan menubuhkan sebuah organisasi antarabangsa, yang bertujuan untuk mendorong orang melakukan perbuatan baik. Dia menjelajah ke seluruh dunia, bergantung pada orang asing untuk membekalkan makanan, petrol dan tempat tinggal kepadanya. Kemudian, dia membalas kebaikan mereka melalui organisasinya, dengan melakukan kebajikan seperti memberi makan kepada anak-anak yatim, atau membina sekolah untuk anak-anak yang kurang berkemampuan. Dia berkata, “Ada kalanya kebaikan seolah-olah kelihatan lemah. Tetapi kebaikan mempunyai pengaruh yang mendalam.”
Keperibadian utama Kristus sebagai Tuhan ialah kebaikan, maka kebaikan secara semula jadi mengalir daripada-Nya. Saya suka kisah tentang apa yang dilakukan Yesus sewaktu Dia tiba di upacara pengebumian anak lelaki tunggal seorang balu (Lukas 7:11-17). Kemungkinan besar nafkah wanita yang berkabung itu bergantung sepenuhnya pada anaknya. Dalam cerita itu, kita tidak membaca bahawa ada orang meminta pertolongan Yesus, tetapi Dia sendiri yang melihat keperluan mereka (ayat 13). Oleh belas kasihan-Nya, anak lelaki wanita tersebut dibangkitkan daripada kematian. Oleh itu, semua orang memuji Kristus dengan berkata, “Allah sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya” (ayat 16).