Pada 27 November 1939, tiga orang pencari harta karun dan sekumpulan kru filem telah menggali asfalt di luar amfiteater Hollywood Bowl di Selatan California. Mereka mencari harta karun di bukit Cahuenga Pass, yang terdiri daripada emas, berlian dan mutiara yang kononnya disembunyikan di tempat itu 75 tahun yang lalu.

Mereka tidak menemukannya. Selepas menggali selama 20 hari, mereka menemukan sebuah batu besar dan kemudian mereka berhenti. Apa yang diperoleh oleh mereka hanyalah sebuah lubang yang kira-kira bersaiz 3 meter lebar dan sedalam 13 meter di bawah tanah. Mereka meninggalkan tempat itu dengan kecewa.

Kesilapan ini adalah bukti bahawa kita ini cuma manusia biasa—semua orang ada kalanya mengalami kegagalan. Alkitab memberitahu kita bahawa pemuda yang bernama Markus meninggalkan Paulus dan Barnabas dalam suatu pelayanan misi, dan “tidak menyertai mereka menyelesaikan tugas.” Oleh sebab itu, “Paulus tidak bersetuju untuk membawanya” dalam misi seterusnya (Kisah Rasul-Rasul 15:38), yang mengakibatkan perbalahan besar dengan Barnabas. Walaupun kegagalan awalnya itu, Markus muncul kembali beberapa tahun kemudian dengan cara yang tidak terjangka. Sewaktu Paulus berasa kesunyian dan dipenjarakan pada penghujung hidupnya, dia meminta Markus datang melawat kerana “dia dapat menolong aku dalam pekerjaanku” (2 Timotius 4:11). Tuhan juga memberikan ilham kepada Markus untuk menuliskan kitab Injil sempena namanya.

Kehidupan Markus menunjukkan kepada kita bahawa Tuhan tidak membiarkan kita berhadapan dengan kesilapan dan kegagalan kita bersendirian. Kita memiliki seorang Sahabat yang lebih besar daripada semua kesilapan yang kita lakukan. Ketika kita mengikut Penyelamat kita, Dia akan memberikan pertolongan dan kekuatan yang kita perlukan.