Su Dongpo (juga dikenali sebagai Su Shi) ialah salah seorang pemuisi dan penulis esei yang hebat di China. Apabila dalam pembuangan, dia menulis sebuah puisi untuk menghuraikan betapa dia merindui adiknya ketika melihat bulan penuh. “Kami bersuka dan berduka, berkumpul dan berpisah, sementara bulan bersinar dan pudar. Sejak masa purbakala, tiada yang kekal sempurna,” tulisnya. “Semoga orang yang kita kasihi hidup panjang, melihat pemandangan yang cantik ini bersama-sama walaupun berada di tempat-tempat lain yang berjauhan.”
Penulisannya memperlihatkan tema yang ditemukan dalam kitab Pengkhutbah. Penulis yang dikenali sebagai Si Pemikir (1:1), memerhatikan bahawa “[Tuhan] menentukan waktu untuk menangis dan waktu untuk tertawa … waktu untuk memeluk dan waktu untuk mengawal diri” (3:4-5). Dengan membandingkan dua aktiviti yang bertentangan, Si Pemikir ini, seperti Su Dongpo, seakan-akan menyatakan bahawa segala perkara yang baik akan berakhir.
Seperti Su Dongpo melihat sinar dan pudar bulan sebagai satu lagi tanda bahawa tiada apa-apa yang kekal sempurna, Si Pemikir juga melihat kedaulatan Tuhan ke atas bumi yang diciptakan-Nya. Tuhan berkuasa ke atas setiap kejadian, dan “Dia telah menentukan waktu yang tepat bagi tiap-tiap perkara (ayat 11).
Hidup kita mungkin sukar diramal dan ada kalanya penuh dengan perpisahan yang menyakitkan, tetapi kita boleh mengingati bahawa Tuhan mengetahui segala yang berlaku. Kita boleh menikmati hidup ini dan setiap saatnya—yang baik dan yang buruk—kerana Tuhan yang mengasihi kita menyertai kita.