Apabila kami mendengar bunyi melodi digital dimainkan, keenam-enam kami akan bertindak. Ada yang terus pasang kasut, yang lain akan lari ke pintu depan dengan berkaki ayam. Dalam beberapa saat kesemua kami bergegas ke jalan untuk mengejar motosikal penjual aiskrim. Ia merupakan hari pertama musim panas, dan tiada cara yang lebih baik untuk merayakannya selain makan aiskrim yang begitu sejuk dan manis! Kadangkala kita melakukan beberapa hal hanya disebabkan oleh sukacita yang dibawanya, bukan kerana peraturan atau kewajipan.

Dalam sepasang perumpamaan yang ditemukan dalam Matius 13:44-46, penekanan ialah jual segala sesuatu untuk memperoleh sesuatu yang lain. Kita mungkin berfikir bahawa cerita ini ialah soal pengorbanan. Tetapi itu bukan maksud yang ingin disampaikan. Kenyataannya, perumpamaan pertama mengisytiharkan “sukacita” yang membuat orang itu menjual segala-galanya dan membeli tanah itu. Sukacita menimbulkan perubahan—bukan rasa bersalah atau kewajipan.

Yesus bukan satu bahagian dalam kehidupan kita; tuntutan-Nya ke atas kita adalah secara menyeluruh. Kedua-dua orang dalam cerita “menjual segala miliknya” (ayat 44). Tetapi di sinilah bahagian terbaik: hasil daripada menjual segala-galanya sebenarnya keuntungan. Kita mungkin tidak menyangka hal itu. Bukankah kehidupan Kristian tentang memikul salib kita? Ya. Memang. Tetapi apabila kita mati, kita hidup; apabila kita kehilangan hidup kita, kita menemukannya. Apabila kita “menjual segala miliknya”, kita mendapat harta terbesar: Yesus! Hati yang bersukacita menggerakkan kita menyerahkan diri kepada-Nya. Malah pahala terbesar kita adalah mengenal Yesus—harta kita yang terpendam!