Ribut petir yang dahsyat melewati pekan baru kami mengakibatkan kelembapan yang tinggi dan langit yang gelap. Saya membawa anjing kami, Callie bersiar-siar pada waktu petang. Cabaran mengenai saya dan keluarga saya harus berpindah ke negeri lain terus membebani minda saya. Saya amat kecewa dengan banyak perkara yang tidak berlaku seperti yang kami harap dan jangkakan, namun saya memperlahankan langkah supaya Callie boleh menghidu rumput-rampai. Saya mendengar aliran anak sungai di tepi rumah kami. Cahaya-cahaya kecil berkelipan di atas tompok-tompok bunga liar yang menjalar di tebing anak sungai. Rupanya itu api-api.

Tuhan mendukung saya dengan kedamaian ketika saya melihat cahaya yang berkelipan dalam kegelapan itu. Saya berfikir tentang Daud yang bernyanyi, “Engkau memberikan cahaya kepadaku” (Mazmur 18:29). Daud mengisytiharkan bahawa Tuhan mengubah kegelapannya menjadi terang, dan menyatakan keyakinan imannya terhadap pemeliharaan dan perlindungan Tuhan (ayat 30-31). Dengan kekuatan Tuhan, dia boleh menghadapi apa sahaja yang berlaku ke atas dirinya (ayat 33-36). Daud dengan sepenuh hati mempercayai bahawa Tuhan yang hidup akan menyertainya dalam semua keadaan, dan dia berjanji untuk memuji Dia di kalangan bangsa-bangsa dan menyanyikan pujian bagi nama-Nya (ayat 37-50).

Sama ada kita menanggung badai yang tidak dapat diramalkan dalam hidup atau menikmati ketenangan setelah hujan berlalu, kedamaian Tuhan akan tetap menerangi jalan kita dalam kegelapan. Tuhan kita yang hidup akan sentiasa menjadi kekuatan, perlindungan, pemelihara dan penyelamat kita.