Oleh sebab berasa hampa dan kecewa terhadap gereja, Trevor yang berusia 17 tahun memulakan pencarian selama bertahun-tahun untuk mendapatkan jawapan. Tetapi dalam semua pencarian itu, dia tidak menemukan perkara yang dapat memuaskan kerinduannya atau menjawab semua persoalannya.
Bagaimanapun, perjalanan ini telah membawa dia lebih dekat kepada ibu bapanya. Namun dia masih mempersoalkan kepercayaan Kristian. Dalam satu perbincangan, dia berkata dengan keras, “Alkitab penuh dengan janji-janji kosong.”
Kekecewaan dan kesusahan seorang lelaki yang lain menambah lagi keraguannya. Tetapi ketika Daud melarikan diri daripada musuh-musuh yang berkomplot untuk membunuhnya, respons Daud adalah terus memuji Tuhan dan bukan melarikan diri daripada-Nya. “Walaupun musuhku menyerang aku, aku akan tetap percaya kepada Allah (Mazmur 27:3).
Tetapi puisi Daud masih menunjukkan keraguan. Seruannya, “Kasihanilah aku dan jawablah aku” (ayat 7), kedengaran seperti seseorang yang mempunyai ketakutan dan banyak pertanyaan. “Janganlah sembunyikan diri-Mu daripadaku,” Daud memohon, “Janganlah marah dan tolak hamba-Mu” (ayat 9).
Namun, Daud tidak membenarkan keraguannya sehingga melumpuhkannya. Malah dalam keraguan itu, dia berkata, “Aku yakin bahawa aku akan mengalami kebaikan TUHAN dalam hidupku di dunia ini” (ayat 13). Kemudian dia berkata kepada pembacanya: anda, saya dan semua si Trevor yang ada di dunia. “Berharaplah kepada TUHAN! Percayalah kepada-Nya dan jangan putus asa. Ya, berharaplah kepada TUHAN!” (ayat 14).
Kita tidak akan menemukan jawapan yang cepat dan ringkas bagi pertanyaan-pertanyaan kita yang besar. Tetapi kita akan menemukan—apabila kita menantikan TUHAN—Dia adalah TUHAN yang sungguh dapat diharapkan.