Alexa, peranti kawalan suara Amazon, mempunyai ciri yang menarik: alat ini dapat memadamkan semua yang anda katakan. Apa sahaja yang anda minta daripada Alexa, atau memberi arahan untuk mendapat kembali maklumat, satu kalimat mudah (“Padamkan semua yang saya katakan hari ini”) maka ia akan menyapu bersih semuanya seolah-olah tiada sesuatu pun yang pernah berlaku. Sedihnya keupayaan ini tidak wujud dalam bahagian kehidupan kita yang lain. Setiap silap kata, setiap perbuatan yang memalukan, setiap saat yang kita harap dapat dipadamkan—kita hanya perlu memberikan arahan dan semua perkara yang tidak menyenangkan itu akan lenyap.
Walaupun begitu, ada satu berita baik. Tuhan menawarkan kepada kita satu permulaan yang bersih. Hanya Dia dapat melakukan perkara yang jauh lebih daripada sekadar menghapuskan kesilapan atau kelakuan buruk kita. Tuhan menyediakan penebusan, penyembuhan yang mendalam yang mengubah kita dan menjadikan kita baru. “Kembalilah kepada-Ku” kata Tuhan, “Akulah yang menyelamatkan kamu” (Yesaya 44:22). Walaupun Israel memberontak dan tidak taat, Tuhan menghulurkan pertolongan kepada mereka dengan penuh belas kasihan. Dia “menghapus segala dosa pemberontakan [mereka] seperti kabut diterbangkan angin dan segala dosa [mereka] seperti awan yang tertiup” (ayat 22, Alkitab TB). Dia membasuh segala rasa malu dan kegagalan mereka dengan kasih kurnia-Nya yang besar dan luas.
Tuhan juga akan menghapus dosa dan kesilapan kita. Tiada kesilapan yang tidak dapat diperbaiki-Nya, tiada luka yang tidak dapat disembuhkan-Nya. Belas kasihan Tuhan menyembuh dan menebus semua luka yang paling menyakitkan dalam jiwa kita—bahkan yang kita sudah sembunyikan begitu lama. Belas kasihan-Nya melenyapkan semua rasa bersalah kita dan menghapus semua kekesalan.