Selepas perbualan saya dengan Grady, saya tertanya-tanya mengapa dia lebih suka menyapa orang dengan gaya adu kepalan tangan” (fist bump) dan bukan berjabat tangan. Rupa-rupanya dengan berjabat tangan itu akan mendedahkan bekas luka pada pergelangan tangannya, akibat cubaan untuk mencederakan dirinya. Kita memang biasa menyembunyikan luka kita—luaran atau dalaman—yang diakibatkan oleh orang lain ataupun diri sendiri.
Setelah berinteraksi dengan Grady, saya berfikir tentang bekas luka pada tubuh Yesus, iaitu luka-luka yang disebabkan oleh paku yang menembusi ke dalam tangan dan kaki serta tombak yang ditusuk ke rusuk-Nya. Kristus tidak menyembunyikan parut-parut-Nya, melainkan menunjukkannya kepada pengikut-pengikut-Nya.
Pada mula-mula apabila Thomas meragui bahawa Yesus telah bangkit daripada kematian, Dia berkata kepadanya, “Letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkanlah tanganmu dan letakkanlah pada rusuk-Ku. Janganlah ragu-ragu lagi, tetapi percayalah!” (Yohanes 20:27). Ketika Thomas sendiri telah melihat bekas luka itu dan mendengar kata-kata Yesus yang menakjubkan, dia sungguh yakin bahawa itu adalah Yesus. Malah dia berkata dengan penuh keyakinan, “Ya Tuhanku! Ya Allahku!” (ayat 28). Yesus kemudian memberikan berkat khusus bagi mereka yang tidak melihat Dia atau luka-luka-Nya tetapi tetap percaya kepada-Nya: “Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Aku!” (ayat 29).
Parut-parut Tuhan adalah untuk semua dosa kita, sama ada itu dosa kita terhadap orang lain atau diri sendiri. Inilah berita terbaik bagi semua orang. Kematian Yesus adalah untuk mengampuni dosa semua orang yang percaya kepada-Nya dan mengakui bersama dengan Thomas, “Ya Tuhanku! Ya Allahku!”