“Ayah, mengapa ayah perlu pergi bekerja?” Anak perempuan saya yang masih kecil menanyakan soalan ini kerana dia ingin bermain dengan saya. Saya lebih suka menghabiskan waktu dengan anak saya daripada bekerja, tetapi saya perlu melengkapkan senarai tugas yang panjang di pejabat. Bagaimanapun, persoalannya itu sangat baik. Mengapakah kita bekerja? Adakah ia semata-mata untuk menyara diri sendiri dan orang yang kita sayangi? Bagaimanakah pula dengan pekerjaan yang tidak diberi upah—Mengapakah kita melakukannya?
Kejadian 2 memberitahu kita bahawa Tuhan menempatkan manusia pertama di Taman Eden untuk “mengusahakan serta memelihara taman itu” (ayat 15). Ayah mentua saya seorang petani, dan dia sering memberitahu sebab dia menjadi peladang semata-mata kerana cintanya terhadap tanah dan ternakan. Alasan ini sangat mulia, tetapi ia meninggalkan satu pertanyaan yang berlarutan tentang orang yang tidak menyukai pekerjaan mereka. Mengapakah Tuhan meletakkan kita di tempat tertentu dengan tugasan tertentu?
Kejadian 1 memberi kita jawapannya. Kita diciptakan menurut gambaran dan rupa Tuhan untuk memelihara dunia yang diciptakan-Nya dengan teliti (ayat 26). Cerita pagan tentang penciptaan dunia mendedahkan bahawa “tuhan-tuhan” menjadikan manusia sebagai hamba mereka. Kejadian mengisytiharkan bahawa Tuhan yang benar menjadikan manusia sebagai wakil-Nya—untuk menguruskan apa yang telah diciptakan-Nya bagi pihak-Nya. Semoga kita mencerminkan perintah-Nya yang penuh hikmah dan kasih kepada dunia ini. Pekerjaan kita juga merupakan satu panggilan untuk memelihara dunia demi kemuliaan-Nya.