“Bapa kamu nazak” kata jururawat. “Nazak” merujuk kepada detik-detik akhir hayat seseorang. Ia merupakan istilah baru bagi saya, sesuatu yang ganjil seperti memandu sendirian di jalan sehala. Hari terakhir sebelum bapa saya meninggal, saya dan kakak saya berada bersama di sisinya. Kami mencium dahinya dan membisikkan janji Tuhan kepadanya, lalu menyanyikan lagu “Besar Setia-Mu” serta membaca Mazmur 23. Kami memberitahu dia bahawa kami sangat mengasihi dia dan berterima kasih kerana dia menjadi bapa kami. Kami juga memberitahunya bahawa dia boleh pergi kepada Bapa kerana kami tahu bahawa hatinya rindu untuk bersama Yesus. Ungkapan tersebut merupakan langkah pertama kami yang menyakitkan untuk melepaskannya. Beberapa minit kemudian, bapa kami kembali ke rumahnya yang kekal dengan sukacita.

Melepaskan orang yang kita sayangi memang menyakitkan. Yesus menangis semasa Lazarus, sahabat baiknya meninggal (Yohanes 11:35). Tetapi kerana janji Tuhan, kita memiliki harapan yang melampaui kematian fizikal. Mazmur 116:15 (ATB) berkata, “Berharga di mata Tuhan kematian semua orang yang dikasihi-Nya.” Walaupun mereka mati, mereka akan hidup kembali.

Yesus berjanji, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya” (Yohanes 11:25-26). Sungguh menghiburkan apabila mengetahui bahawa kita akan berada dalam hadirat Tuhan selama-lamanya.