Semasa lawatannya ke Mexico pada tahun 1962, Bill Ashe membaiki sebuah pam tangan untuk kincir angin di sebuah rumah anak yatim. 15 tahun kemudian, Bill rindu untuk melayani Tuhan dengan cara membekalkan air bersih ke kampung-kampung yang ada keperluan, maka dia menubuhkan sebuah organisasi bukan untung. Dia berkata, “Tuhan menyedarkan aku untuk ‘menggunakan masa sebaik-baiknya’ dengan mencari orang yang juga rindu untuk membekalkan air minuman bersih kepada penduduk miskin di pedalaman.” Bill menjemput lebih ramai orang menyertai pelayanan ini setelah mengetahui keperluan terhadap air bersih secara global yang diminta oleh ribuan pastor dan penginjil dari lebih 100 negara.
Tuhan mahu kita melakukan pelayanan bersama dengan Dia dan orang lain melalui pelbagai cara. Apabila pergaduhan tercetus di kalangan jemaah di Korintus mengenai mengikut pengajar kegemaran masing-masing, rasul Paulus menegaskan peranannya sebagai hamba Yesus dan rakan sepelayanan Apolos yang bersandar penuh kepada Tuhan untuk pertumbuhan rohani (1 Korintus 3:1-7). Dia mengingatkan kita bahawa semua tugas adalah penting di mata Tuhan (ayat 8). Paulus menekankan kepentingan bekerjasama dengan orang lain dalam pelayanan, dan mendorong kita saling membangun sementara Tuhan mengubah kita dalam kasih (ayat 9, ATB).
Walaupun Bapa kita yang maha kuasa tidak memerlukan pertolongan kita ketika melaksanakan pekerjaan-Nya yang besar, Dia melengkapi dan menjemput kita bekerja bersama dengan Dia.
ILHAM
Para pemikir Yunani sering memandang jiwa atau roh bersifat suci dan kekal, dan ini bertentangan dengan tubuh yang ada kelemahan dan tabiat manusia, maka manusia harus mengawal tubuh melalui fikiran. Contohnya, pengikut Aristotle menekankan hasrat dan perasaan jasmani harus dikendalikan, sementara Stoics mencuba untuk menghilangkan reaksi emosi yang negatif terhadap hidup sepenuhnya.Paulus juga sering membezakan kehidupan “menurut tabiat manusia” (1 Korintus 3:3-4) dan kehidupan rohani (lihat contoh dalam Roma 8:4-9). Namun, menurut Paulus, seperti tubuh jasmani, fikiran atau jiwa manusia juga mudah dikuasai oleh tabiat manusia yang tidak benar. Sebaliknya, Paulus menekankan perbezaan antara hidup yang dikuasai Roh Tuhan dan hidup “seperti kelakuan orang dunia ini” (1 Korintus 3:4). Paulus mengajar bahawa hanya hidup yang bersandar terus kepada Roh dapat membebaskan manusia daripada perhambaan oleh tabiat manusia demi menjalani hidup yang mempunyai tujuan sejati.