Di kubah katedral St. Paul di London yang berdiri megah, pengunjung boleh menaiki 259 anak tangga ke “Galeri Berbisik”. Di situ anda boleh berbisik dan boleh didengar oleh orang lain di sepanjang jalan pekeliling, bahkan di seberang jurang besar yang terletak hampir sejauh 30 meter. Jurutera menerangkan fenomena yang unik ini adalah hasil daripada kubah yang berbentuk sfera dan gelombang bunyi bisikan berintensiti rendah.
Kita ingin sekali yakin bahawa Tuhan mendengar bisikan penderitaan kita! Mazmur dipenuhi kesaksian bahawa Dia mendengar tangisan, doa dan bisikan kita. Daud menulis, “Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN; aku berseru kepada Allahku minta pertolongan” (Mazmur 18:7). Dia dan pemazmur lain banyak kali berseru, “Dengarlah doaku” (4:2), rintihanku (5:3), keluhan (102:21). Kadangkala ungkapan itu adalah seperti bisikan “Dia mendengar” (77:2), apabila kita “bermenung dan bertanya dalam hati” (77:7).
Sebagai jawapan kepada permohonan-permohonan ini, para pemazmur mengungkapkan bahawa Tuhan sedang mendengar: “Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku; Dia memperhatikan seruanku,” seperti Daud dalam Mazmur 18:7. Oleh sebab rumah TUHAN belum dibina pada masa itu, mungkinkah Daud merujuk bahawa Tuhan sedang mendengarkan dia di kediaman-Nya di syurga?
Dari “galeri berbisik” Tuhan yang tersendiri di syurga, Tuhan sedang mendengar suara kita yang terdalam, mahupun bisikan kita … dan terus mendengar.