Setelah berpindah rumah baru-baru ini, Ryan, anak lelaki Mabel yang berusia 7 tahun berasa risau semasa dia membuat persediaan untuk menghadiri kem musim panas di sekolah barunya. Mabel mendorong serta meyakinkannya bahawa dia memahami perubahan adalah sukar. Namun pada suatu pagi, Ryan kelihatan semakin gelisah. Dengan kasih Mabel bertanya, “Apakah yang buat kamu tidak senang, Nak?”
Sementara memandang ke luar tingkap, Ryan mengangkat bahu dan menjawab, “Tak tau, ibu. Aku cuma rasa gelisah.”
Hati Mabel sakit sewaktu dia menghiburkannya. Mabel sangat ingin membantu Ryan dan menjelaskan bahawa perubahan itu juga sukar bagi dirinya. Dia meyakinkan Ryan bahawa Tuhan tetap dekat walaupun mereka tidak dapat memahami atau menyuarakan kegelisahan mereka. “Mari kita melawat kawan kamu sebelum sekolah bermula,” kata Mabel. Apabila membuat rancangan, mereka bersyukur kerana Tuhan memahami meskipun anak-anak-Nya berasa gelisah.
Penulis Mazmur 147 mengalami emosi yang bercampur aduk sepanjang perjalanan imannya dan mengakui manfaat memuji Sang Pencipta yang Maha Tahu, Penguasa segala sesuatu serta Penyembuh luka fizikal dan emosi (ayat 1-6). Pemazmur memuji Tuhan untuk segala pembekalan-Nya. Tuhan “suka akan orang yang menghormati-Nya, orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal” (ayat 11).
Ketika kita bergelut untuk memahami emosi kita, kita tidak perlu berasa keseorangan atau berputus asa. Kita boleh bertenang dengan memahami bahawa Tuhan kita tidak berubah malah Dia mengasihi kita.