Sarah hanya bergantung pada kerusi roda elektrik untuk bergerak kerana menghidap penyakit sendi yang jarang dihidapi orang. Dalam perjalanannya menghadiri sebuah mesyuarat, dia menaiki kerusi rodanya ke stesen kereta api tetapi lif rosak. Tanpa jalan lain untuk sampai ke platform, dia disuruh menaiki teksi ke stesen lain yang sejauh 40 minit perjalanan. Namun, teksi yang dipanggil tidak sampai. Sarah berasa kecewa lalu pulang.
Sedihnya, kejadian seperti ini biasanya berlaku ke atas Sarah. Lif yang rosak menghalangnya untuk menaiki kereta api, dan tanjakan yang tidak tersedia menyebabkan dia tidak dapat turun dari kereta api. Kadangkala Sarah dianggap oleh kakitangan kereta api sebagai orang yang menyusahkan apabila meminta pertolongan. Hal ini membuat Sarah sedih.
Antara banyak perintah Alkitab mengenai hubungan sesama manusia, “Kasihilah sesama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri” adalah kunci utama (Imamat 19:18; Roma 13:8-10). Sementara kasih menghalang kita daripada menipu, mencuri dan menganiayai orang lain (Imamat 19:11, 14), ia juga mengubah cara kita melakukan tugas. Para pekerja harus diperlakukan dengan adil (ayat 13), dan kita harus bermurah hati terhadap orang miskin (ayat 9-10). Dalam kes Sarah, tugas mereka untuk membaiki lif dan menyediakan tanjakan merupakan perkhidmatan yang penting kepada orang lain.
Sekiranya kita menjadikan kerja kita hanya untuk mendapatkan gaji atau manfaat peribadi, kita akan segera menunjukkan kejengkelan ketika memperlakukan orang lain. Tetapi jika kita menganggap pekerjaan sebagai peluang untuk mengasihi orang lain, tugas harian kita akan menjadi pekerjaan yang mulia.
ILHAM
Cendekiawan Alkitab merujuk Imamat 17-26 sebagai “Hukum Kekudusan,” kerana penekanan pada kelakuan kudus di kalangan mereka yang berada dalam hadirat Tuhan. Fasal-fasal Imamat yang sebelumnya adalah mengenai berbagai-bagai korban (1-7), persediaan dan peraturan imam (8-10), peraturan yang menentukan sama ada benda yang najis atau tahir (11-15), dan Hari Pengampunan Dosa (16). Fasal-fasal yang selebihnya menekankan kekudusan dalam keluarga dan komuniti, dalam hubungan seksual, dalam pengendalian ekonomi dan sebagainya.Untuk menjadi kudus adalah dipanggil oleh Tuhan dan menjalani hidup—dengan kuasa Roh Kudus—mengikut prinsip-prinsip dalam Alkitab. Dalam Perjanjian Baru, Petrus memanggil orang yang percaya kepada Yesus untuk menjadi kudus dengan menggunakan perkataan yang ditemukan dalam Imamat 11:44 dan 19:2: “Sebaliknya, hendaklah kamu suci dalam segala sesuatu yang kamu lakukan, sebagaimana Allah yang memanggil kamu itu suci. Di dalam Alkitab tertulis, ‘Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci’” (1 Petrus 1:15-16).