Setelah Charles Simeon (1759-1836) ditahbiskan sebagai pastor Gereja Holy Trinity di Cambridge, England, dia menghadapi tentangan selama bertahun-tahun. Disebabkan kebanyakan jemaah menginginkan pastor lain dilantik dan bukannya Simeon, maka mereka menyebarkan khabar angin tentang dia dan menolak pelayanannya, bahkan kadang-kadang mengunci gereja agar dia tidak dapat masuk. Tetapi Simeon mentaati pimpinan Roh Tuhan, malah dia berusaha mengatasi gosip itu dengan berpegang pada beberapa prinsip. Pertama, seseorang tidak seharusnya mempercayai khabar angin kecuali ia telah disahkan betul. Kedua, selalu percaya bahawa kisah yang diceritakan oleh pihak lain akan menjadi versi yang berbeza.
Dengan mempraktikkan amalan ini, Simeon telah mengikut perintah Tuhan untuk menghentikan gosip dan fitnah yang akan menghancurkan kasih antara sesama. Salah satu daripada Sepuluh Hukum Tuhan menyatakan kehendak Tuhan supaya mereka hidup dengan benar: “Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain” (Keluaran 20:16). Satu lagi perintah dalam Keluaran yang menegaskan hukum ini ialah “Jangan sebarkan berita dusta” (23:1).
Fikirkan perbezaan yang kita bawa kepada dunia ini, jika kita menghentikan penyebaran khabar angin dan berita palsu pada saat kita mendengarnya. Semoga kita bergantung kepada Roh Kudus untuk menolong kita bercakap benar dalam kasih untuk kemuliaan Tuhan.
Apakah yang membantu anda apabila berhadapan dengan tentangan? Bagaimanakah anda bertindak balas apabila mendengar khabar angin?
Yesus, tolong aku menyatakan kebenaran-Mu dalam kasih. Berikan aku kata-kata yang membawa kesejahteraan, rahmat dan galakan.
Tuhan menyampaikan Sepuluh Hukum Tuhan sebagai panduan bagi kehidupan harian supaya umat-Nya dapat menjalani hidup yang setia dan kudus. Hukum Tuhan 1-4 (Keluaran 20:1-11) mengajar kita untuk mengasihi Tuhan, seperti dikatakan Yesus “inilah perintah yang terutama dan yang terpenting” (Matius 22:38). Hukum 5-10 (Keluaran 20:12-17) mengajar kita “Kasihilah sesama manusia seperti [kita] mengasihi diri [kita] sendiri” (Matius 22:39). Selepas memberikan Sepuluh Hukum Tuhan, Musa membuat ketetapan supaya orang Israel dapat mematuhinya dan mengasihi sesama mereka (Keluaran 21:1-23:9). Oleh sebab “TUHAN adil dan mengasihi orang yang berbuat baik” (Mazmur 11:7), Musa memerintahkan mereka untuk “sentiasa adil dan tidak berat sebelah” (Ulangan 16:20). Kasih untuk sesama manusia bermaksud bersifat adil terhadap semua. Keluaran 23:1-9 merupakan pengamalan Hukum Tuhan yang ke-9: “Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain” (20:16). Hukum Tuhan ini menjaminkan keadilan yang tidak berat sebelah untuk setiap orang. Tuduhan palsu, kesaksian palsu, memfitnah, dan tidak menegakkan keadilan disebabkan oleh tekanan luaran, sifat berat sebelah, atau rasuah menterbalikkan kebenaran dan menghalang kasih sesama manusia.
Sim Kay Tee (Penulis Tamu)