Baru-baru ini, saya menemukan keajaiban dalam kesenian anamorfik. Pada mulanya, karya seni ini kelihatan terdiri daripada bahagian-bahagian yang tidak teratur, bentuk sebuah arca anamorfik hanya menghasilkan kesan penglihatan jika dilihat dari sudut yang betul. Dalam salah satu karya seni anamorfik, sebaris tiang yang menegak memaparkan wajah pemimpin terkenal. Karya yang lain pula memperlihatkan garis bentuk seekor gajah yang diperbuat daripada kabel besar. Terdapat juga karya seni yang diperbuat daripada ratusan titik hitam yang digantung dengan wayar kelihatan seperti mata seorang wanita. Kunci untuk menghayati seni anamorfik adalah melihatnya dari sudut yang berbeza sehingga maknanya yang tersembunyi dinyatakan.

Kadangkala kita sukar memahami unsur-unsur sejarah, puisi dan sebagainya yang terkandung dalam ribuan ayat Alkitab. Tetapi firman Tuhan memberitahu kita cara untuk mendedahkan maknanya. Anggaplah Alkitab sebagai arca anamorfik: lihatlah dari sudut yang berbeza dan renungkanlah secara mendalam.

Begitu jugalah dengan perumpamaan Kristus. Orang yang sungguh-sungguh merenungkan kata-kata Kristus, “mata mereka akan melihat” maksudnya (Matius 13:10-16). Paulus menyuruh Timotius merenungkan kata-katanya kerana Tuhan akan memberi Timotius pengertian (2 Timotius 2:7). Pengulangan yang berterusan dalam Mazmur 119 memberitahu kita bahawa dengan merenungkan firman Tuhan, ia memberikan kebijaksanaan dan pengertian, serta membuka mata kita untuk melihat maknanya (119:18, 97-99).

Cubalah renungkan satu perumpamaan selama seminggu atau habis membaca satu kitab Injil dalam satu sesi? Luangkan masa untuk melihat ayat dari semua sudut secara mendalam. Untuk mendapat pengertian Alkitab, kita perlu merenungkan firman Tuhan, dan bukan hanya membacanya.

Tuhan, berilah kami mata untuk melihat.