“Itu sahaja yang diperlukan” kata Megan. Dia memotong batang geranium, mencelup hujungnya ke dalam madu dan memasukkannya ke dalam pasu bunga yang dipenuhi kompos. Megan mengajar saya cara memperbanyak bunga geranium supaya saya dapat berkongsi dengan orang lain. Menurutnya, madu itu membantu tumbuhan muda membentuk akar.

Semasa melihat dia mencantas bunga-bunga, saya memikirkan perkara yang dapat membantu kita membina akar secara rohani. Apakah yang membantu kita menjadi matang, kuat dan bertumbuh dalam iman? Apakah yang menghindari pertumbuhan kita? Paulus memberitahu orang di Efesus supaya “berakarkan dan berdasarkan kasih” (Efesus 3:17). Kasih ini berasal daripada Tuhan yang menguatkan kita dengan memberi kita Roh Kudus. Kristus tinggal di dalam hati kita. Ketika kita mula “memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus” (ayat 18), kita dapat mengalami hadirat Tuhan kerana kita “memperolehi sifat Allah” (ayat 19).

Kita perlu berakarkan kasih Tuhan untuk bertumbuh secara rohani, iaitu dengan merenungkan kebenaran bahawa kita dikasihi Tuhan yang mampu “melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan” (ayat 20). Sungguh luar biasa dasar iman kita!