“Itu sahaja yang diperlukan” kata Megan. Dia memotong batang geranium, mencelup hujungnya ke dalam madu dan memasukkannya ke dalam pasu bunga yang dipenuhi kompos. Megan mengajar saya cara memperbanyak bunga geranium supaya saya dapat berkongsi dengan orang lain. Menurutnya, madu itu membantu tumbuhan muda membentuk akar.
Semasa melihat dia mencantas bunga-bunga, saya memikirkan perkara yang dapat membantu kita membina akar secara rohani. Apakah yang membantu kita menjadi matang, kuat dan bertumbuh dalam iman? Apakah yang menghindari pertumbuhan kita? Paulus memberitahu orang di Efesus supaya “berakarkan dan berdasarkan kasih” (Efesus 3:17). Kasih ini berasal daripada Tuhan yang menguatkan kita dengan memberi kita Roh Kudus. Kristus tinggal di dalam hati kita. Ketika kita mula “memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus” (ayat 18), kita dapat mengalami hadirat Tuhan kerana kita “memperolehi sifat Allah” (ayat 19).
Kita perlu berakarkan kasih Tuhan untuk bertumbuh secara rohani, iaitu dengan merenungkan kebenaran bahawa kita dikasihi Tuhan yang mampu “melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan” (ayat 20). Sungguh luar biasa dasar iman kita!
Bagaimanakah anda memupuk tabiat merenungkan kasih Tuhan? Siapakah yang boleh anda berkongsi tentang kasih Tuhan pada hari ini?
Tuhan, aku bersyukur atas kasih-Mu. Tolonglah aku merenungkan kasih-Mu yang benar. Semoga kasih-Mu bertumbuh di dalam hatiku, membawa keindahan kepada hidupku dan dunia ini.
Paulus menjalinkan hubungan rapat dengan orang percaya di Efesus. Dia melawat Efesus sebelum dia mengakhiri perjalanan misinya yang kedua, dan sebelum dia meninggalkan tempat itu, dia berjanji untuk kembali lagi (Kisah Rasul-Rasul 18:19-21). Pada permulaan perjalanan misinya yang ketiga (18:23-21:17), Paulus kembali ke Efesus dan mengajar jemaah di situ selama 3 tahun sebelum pergi ke Makedonia (19:1-20; 20:31). Dalam perjalanan pulang ke Yerusalem, Paulus mempunyai pertemuan yang mengharukan dengan pemimpin-pemimpin gereja di Efesus (20:17-38). Kira-kira 5 atau 6 tahun kemudian, semasa dalam penjara di Roma (Efesus 3:1), Paulus menulis untuk menggalakkan orang percaya untuk “hidup sesuai dengan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah ketika Dia memanggil [mereka]” (4:1). Komitmen Paulus yang tidak tergoyah adalah berdoa dengan tekun untuk pertumbuhan anak-anak rohaninya (1:15-16). Efesus 1:15-23 adalah salah satu catatan doa Paulus di Efesus. Dalam doa keduanya (3:14-21), Paulus berdoa bahawa dengan “semua perbuatan [mereka] berakarkan dan berdasarkan kasih,” mereka akan “memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus” (ayat 17-18).
Sim Kay Tee (Penulis Tamu)