Apabila saya berpindah ke sebuah negara baru, saya melalui pengalaman yang membuat saya rasa tidak dialu-alukan. Selepas mendapat tempat duduk di sebuah gereja kecil yang suami saya berkhutbah pada hari itu, seorang lelaki tua mengejutkan saya dengan berkata, “Duduk ke tepi sedikit.” Isterinya memohon maaf dan menjelaskan bahawa saya telah duduk di tempat duduk mereka. Bertahun-tahun kemudian, saya menyedari bahawa jemaah sini menyewa bangku-bangku tersebut untuk mengumpulkan dana wang untuk gereja dan memastikan tiada sesiapa boleh mengambil tempat duduk mereka. Beginilah beberapa mentaliti diteruskan selama beberapa dekad.
Kemudian, saya merenungkan bagaimana Tuhan mengarahkan orang Israel menyambut orang asing, ini amat berbeza dengan amalan kebudayaan yang saya alami. Selepas menetapkan undang-undang yang membolehkan umat-Nya berkembang, Tuhan mengingatkan mereka untuk menyambut orang asing kerana mereka sendiri pernah menjadi orang asing (Imamat 19:34). Bukan sahaja mereka harus memperlakukan orang yang tidak dikenali dengan kebaikan (ayat 33), tetapi mereka juga harus mengasihi orang asing ini seperti mereka mengasihi diri mereka (ayat 34). Tuhan telah menyelamatkan mereka daripada penindasan di Mesir, memberi mereka tanah “yang berlimpah-limpah susu dan madunya” (Keluaran 3:17, ATB). Tuhan mengharapkan umat-Nya mengasihi orang asing yang menetap di situ.
Apabila anda bertemu dengan orang asing di sekeliling anda, mintalah Tuhan mendedahkan apa-apa amalan kebudayaan yang mungkin menghalang anda berkongsi kasih-Nya dengan mereka.