Apabila kartun Walt Disney, Bambi ditayangkan semula, para ibu bapa mengenang kembali zaman kanak-kanak mereka dengan menonton bersama-sama anak-anak mereka. Seorang ibu muda juga salah seorang peminat kartun ini, dan suaminya yang gemar memburu mempunyai sebuah bilik penuh dengan hasil buruan yang mengagumkan. Ibu muda itu dan anak-anak kecilnya berasa terkejut dan mengeluh pada saat mereka menonton babak ibu rusa Bambi terbunuh oleh pemburu. Sehingga hari ini, ibu muda itu masih berasa malu apabila keluarganya menyebut peristiwa tentang anak lelakinya yang menjerit dengan naif di panggung wayang, “Tembakan yang bagus!”
Ada kala, kita tertawa pada kata-kata anak kita yang memalukan. Tetapi apabila orang dalam Mazmur 136 melakukan perkara yang sama, apakah respons kita? Israel, umat yang terpilih dan diselamatkan Tuhan, meraikan kasih abadi Tuhan terhadap seluruh ciptaan dan diri mereka—tetapi tidak termasuk musuh mereka. Mazmur menyanyikan pujian tentang “Dia membunuh anak lelaki sulung orang Mesir” (ayat 10; lihat juga Keluaran 12:29-30).
Bukankah ini seperti mengatakan “tembakan yang bagus” kepada seseorang yang kehilangan ibu, kakak, bapa, atau abang?
Itulah sebabnya kita perlu memahami seluruh rancangan penyelamatan Tuhan. Hanya apabila terang kebenaran dalam kebangkitan Yesus bersinar, seluruh dunia dijemput bergembira bersama dalam keluarga Tuhan yang penuh air mata dan tawa. Hanya apabila kita menerima Yesus sebagai Penyelamat kita dan lahir semula dalam-Nya, barulah kita dapat berkongsi tentang keajaiban Tuhan yang mengasihi semua orang—dengan pergorbanan-Nya sendiri.
ILHAM
Mazmur 135 dan 136 mempunyai beberapa persamaan. Kedua-duanya memuji Tuhan kerana karya ciptaan-Nya yang ajaib (135:6-7; 136:4-9). Kedua-duanya menggambarkan peranan Tuhan yang memelihara umat-Nya ketika orang Israel keluar daripada perhambaan di Mesir (135:8-9; 136:10-15). Kedua-duanya juga mengenang bagaimana orang Israel memasuki Tanah Perjanjian dan pekerjaan Tuhan dalam menghalau raja-raja penyembah berhala yang menentang orang Ibrani (135:10-12; 136:17-22). Tema besar bagi 2 mazmur tersebut adalah Tuhan sebagai satu-satunya Tuhan benar (135:5,13; 136:1-3,26), dan hanya Dia yang harus kita puji.Mazmur 136 adalah pujian antifon; iaitu sebahagian jemaah akan menyanyikan rangkap pertama, lalu sebahagian jemaah lain akan menyahut “kasih-Nya kekal abadi.” Pola itu diulang dalam setiap ayat mazmur ini. Menyanyikan kebaikan Tuhan terhadap kita, terutamanya bersama dengan saudara-saudari yang seiman, akan mengingatkan kita tentang sifat Tuhan dan menggerakkan emosi kita untuk mengucapkan syukur kepada-Nya.