Tom mengalami strok selepas menjalani satu pembedahan dan ini melumpuhkan kemampuannya untuk bercakap. Sejak itu, dia harus melalui proses pemulihan yang panjang. Beberapa minggu kemudian, kami berasa terkejut ketika dia menghadiri kebaktian Hari Kesyukuran. Kami berasa lagi terkejut apabila dia berdiri dan mula bercakap. Sementara mencari-cari apa yang hendak dikatakan, dia mencampuradukkan kata-katanya, mengulang-ulangnya, dan terkeliru tentang hari dan masa. Tetapi satu perkara yang jelas: dia memuji Tuhan! Kita boleh mengalami kepatahan hati dan diberkati pada masa yang sama. Inilah saatnya.
Dalam “kisah pra-Krismas” kami bertemu dengan seorang lelaki yang kehilangan keupayaan untuk bercakap. Malaikat Gabriel muncul kepada Zakharia yang merupakan seorang imam dan memberitahukannya bahawa dia akan menjadi seorang bapa kepada seorang nabi yang besar (lihat Lukas 1:11–17). Zakharia dan isterinya sudah lanjut usia, maka dia pun meraguinya. Pada saat itulah Gabriel memberitahu bahawa dia tidak akan dapat bercakap “sehingga apa yang aku katakan berlaku” (ayat 20).
Hari itu pun terjadi. Dalam upacara untuk menamakan bayi ajaib itu, Zakharia pun dapat bercakap semula. Perkataannya yang pertama ialah memuji Tuhan (ayat 64). Kemudian dia berkata, “Marilah kita memuji Tuhan, Allah bangsa Israel! Dia sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan membebaskan mereka” (ayat 68).
Seperti Zakharia, sejurus selepas dia dapat bercakap, respons Tom adalah memuji Tuhan. Hati kedua-dua peribadi itu tertarik kepada Dia yang menciptakan lidah dan fikiran mereka. Tidak kira apa pun yang kita hadapi ketika ini, kita boleh memberi respons yang sama.
ILHAM
Alkitab merangkumi banyak kisah tentang penghamilan yang mustahil. Abraham dan Sara telah menjadi tua dan Sara adalah mandul, tetapi dia melahirkan Ishak, seperti yang dijanjikan Tuhan (Kejadian 17:15-19). Isteri Ishak, Ribka tidak mempunyai anak sehingga Tuhan menjawab doa Ishak, maka Esau dan Yakub dilahirkan (25:21-26). Isteri Yakub, Rahel tidak mendapat anak (29:31) sehingga Tuhan campur tangan dan dia melahirkan Yusuf (30:22-24). Isteri Manoah mandul tetapi melahirkan Simson menurut janji Tuhan (Hakim-Hakim 13). Hana merayu kepada Tuhan untuk seorang anak lalu melahirkan Samuel (1 Samuel 1:1-20).Dalam Lukas 1, seorang malaikat mengumumkan bahawa Elisabet, yang telah tua dan mandul (ayat 5-7), akan mengandung seorang anak yang bernama Yohanes (ayat 11-17, 57-60). Kelahiran-kelahiran ajaib ini menghasilkan orang penting untuk rancangan Tuhan. Yohanes menyediakan jalan untuk orang yang paling penting antara kesemuanya—Yesus, dilahirkan oleh seorang anak dara.