Iceland, sebuah negara kecil yang suka membaca. Hakikatnya, dilaporkan bahawa setiap tahun negara ini menerbitkan dan membaca lebih banyak buku bagi setiap orang berbanding dengan negara lain. Pada hari sebelum Krismas, ini adalah normal bagi orang Iceland memberikan buku kepada ahli keluarga dan sahabat handai serta membacanya hingga larut malam. Tradisi ini wujud sejak Perang Dunia II, ketika aktiviti import dihadkan malah harga kertas murah. Penerbit di Iceland mula membanjiri pasaran dengan judul buku yang baru semasa penghujung musim luruh. Kini satu katalog tentang terbitan baru di negara itu akan dihantar ke setiap rumah penduduk Iceland pada pertengahan bulan November. Tradisi ini dikenal sebagai Limpahan Buku Krismas.
Kita sangat bersyukur kepada Tuhan kerana Dia memberkati banyak orang dengan kemampuan untuk menghasilkan cerita yang baik dan untuk mendidik, memberi inspirasi, atau memotivasikan orang lain melalui penulisan. Tiada yang dapat membandingi sebuah buku yang baik. Alkitab adalah buku yang paling laris dijual. Ia dihasilkan oleh banyak pengarang yang menuliskan puisi dan prosa—ada antaranya kisah yang hebat, manakala yang lain biasa-biasa sahaja—tetapi semuanya itu telah diilhami. Sebagaimana rasul Paulus mengingatkan Timotius, “Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah” dan “orang yang mengabdikan diri kepada Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik” (2 Timotius 3:16–17). Pembacaan Alkitab memberi kita keyakinan dan ilham serta membantu kita hidup bagi-Nya—dan membimbing kita ke dalam kebenaran (2:15).
Dalam pembacaan kita, janganlah kita lupa mencari masa untuk sentiasa bersama dengan buku yang terhebat antara semua buku, iaitu Alkitab.