Tetamu undangan yang saya temu ramah menjawab setiap soalan dengan sopan. Namun saya berperasaan bahawa ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik interaksi kami. Jawapan yang diberikan oleh orang itu telah mendedahkannya.
“Anda memberikan inspirasi kepada ribuan orang,” kataku.
“Bukan ribuan,” gumamnya. “Jutaan.”
Dia seolah-olah mengasihani ketidaktahuan saya dan mengingatkan tentang kejayaannya—gelaran yang dimilikinya, pencapaiannya, majalah yang memaparkannya. Ia merupakan suatu saat yang janggal.
Setelah pengalaman itu, saya terpegun dengan cara Tuhan menunjukkan diri-Nya kepada Musa di Gunung Sinai (Keluaran 34:5–7). Dialah Pencipta alam kosmos ini dan Hakim kepada manusia sejagat, tetapi Tuhan tidak menggunakan gelaran-Nya. Dialah Pencipta 100 bilion galaksi, tetapi hal itu sama sekali tidak dinyatakan. Sebaliknya, Tuhan memperkenalkan diri-Nya sebagai “Aku TUHAN, Allah yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, dan Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar” (ayat 6). Ketika Dia menunjukkan siapa diri-Nya, Dia tidak menyatakan gelaran atau pencapaian-Nya, tetapi menyatakan sifat-Nya.
Sebagai manusia yang diciptakan menurut gambaran Tuhan dan dipanggil untuk mengikut contoh-Nya (Kejadian 1:27; Efesus5:1–2), maksud Tuhan adalah amat mendalam. Pencapaian memang bagus, gelaran ada kepentingannya, tetapi apa yang benar-benar penting adalah jika kita berbelas kasihan, penuh rahmat dan kasih.
Seperti tetamu undangan itu, pencapaian kita mungkin menjadi penilaian diri. Saya pernah berbuat demikian. Tetapi Tuhan kita telah menunjukkan apa itu kejayaan yang sebenarnya—bukannya apa yang tertulis dalam kad perniagaan atau resume kita, melainkan bagaimana kita menyerupai-Nya.