Saybie yang dilahirkan sebagai “micro preemie” (bayi pramatang) pada usia 23 minggu hanya seberat 245 gram. Doktor menjangka Saybie tidak akan hidup dan memberitahu ibu bapanya bahawa mereka mungkin hanya mempunyai 1 jam untuk bersama-sama bayi perempuan mereka. Tetapi Saybie terus bertahan. Kad berwarna merah jambu di sisi katil bayinya tertulis “Kecil tetapi Kuat”. Setelah 5 bulan di hospital, dengan ajaib Saybie pulang ke rumah sebagai bayi sihat yang seberat 2.27kg. Dia mencatatkan rekod dunia: bayi terkecil yang masih hidup di dunia.
Apabila mendengar kisah seseorang yang luar biasa, ia adalah sesuatu yang menginspirasikan. Alkitab menceritakan kisah seperti ini. Daud, seorang gembala domba yang menawarkan diri untuk melawan Goliat, seorang perajurit raksasa Filistin yang menghina Tuhan dan mengancam bangsa Israel. Raja Saul menganggap Daud tidak masuk akal: “Bagaimana mungkin engkau dapat melawan dia? Engkau masih sangat muda, sedangkan dia telah biasa berperang sejak masa mudanya” (1 Samuel 17:33). Ketika Daud maju bertempur, Goliat “nampak Daud dan memperhatikannya, Goliat tertawa mengejek kerana Daud masih sangat muda” (ayat 42). Tetapi Daud tidak melangkah ke pertempuran seorang diri. Dia datang “demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah tentera Israel” (ayat 45). Setelah pertempuran selesai, Daud berdiri dengan penuh kemenangan sementara Goliat pula mati terbaring.
Apabila Tuhan menyertai kita, tidak kira betapa besar sekalipun masalah yang kita hadapi, kita tidak perlu takut. Dengan kekuatan-Nya, kita turut menjadi kuat.