Setelah doktor memberikan diagnosis bahawa anak lelaki sulung mereka menghidap autisme, Diane Dokko Kim dan suaminya berasa sangat sedih kerana anak mereka yang kurang upaya secara kognitif memerlukan penjagaan seumur hidup. Dalam bukunya yang bertajuk Unbroken Faith (Iman yang Teguh), dia mengakui pergelutan mereka dalam menyesuaikan impian dan harapan untuk masa depan anak kesayangan mereka. Namun melalui proses yang menyakitkan ini, mereka belajar bahawa segala kemarahan, keraguan dan ketakutan mereka boleh diserahkan kepada Tuhan. Kini anak mereka sedang meningkat dewasa. Diane menggunakan pengalamannya untuk mendorong ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas. Dia memberitahu tentang janji-janji Tuhan yang tidak pernah dimungkiri, kuasa-Nya yang tidak terbatas dan kesetiaan-Nya yang penuh kasih. Dia memberi keyakinan bahawa Tuhan mengizinkan kita bersedih ketika kita mengalami kehancuran dalam impian, harapan, masa depan atau kehidupan.
Dalam Yesaya 26, nabi menyatakan bahawa umat Tuhan dapat mempercayai Tuhan selamanya kerana “Tuhan Allah adalah gunung batu yang kekal” (ayat 4, ATB). Dia dapat mempertahankan kita dengan kedamaian yang luar biasa dalam setiap keadaan (ayat 12). Dengan memusatkan perhatian pada sifat-Nya yang tidak berubah dan berseru kepada-Nya sewaktu dalam kesusahan, ia akan menghidupkan kembali harapan kita (ayat 15).
Ketika kita menghadapi kehilangan, kekecewaan atau keadaan yang sukar, Tuhan mengajak kita bersikap jujur kepada-Nya. Dia dapat menangani emosi dan persoalan kita yang sentiasa berubah. Dia tetap menyertai kita dan menyegarkan semangat kita dengan harapan yang kekal. Walaupun kita berasa hidup kita hancur, Tuhan dapat meneguhkan iman kita.