Sewaktu anak lelaki saya, Xavier masih kecil, dia penuh dengan tenaga dan selalu mengelakkan masa tidur siang, walaupun itu sangat diperlukannya. Jadi, dia akan bergoyang-goyang di tempat duduknya, meluncur dari sofa, bergolek-golek di lantai seluruh bilik tidurnya. “Ibu, aku lapar … aku dahaga … aku mau pergi ke bilik air … aku mahu peluk.”
Saya memahami manfaat ketenangan, oleh itu saya akan menenangkan Xavier dengan memujuknya meringkuk. Dengan berbaring miring di sisi saya, dia akan tidur tidak lama kemudian.
Pada awal kehidupan rohani saya, saya juga ada keinginan untuk terus aktif seperti anak saya. Kesibukan membuat saya berasa diterima, penting, dan berkuasa, sementara kebisingan mengalihkan perhatian saya daripada berasa resah atas dugaan dan kelemahan saya. Manakala rehat menunjukkan kemanusiaan saya yang lemah. Justeru itu, saya mengelakkan ketenangan dan kesunyian, serta meragui bahawa Tuhan dapat menangani apa-apa tanpa pertolongan saya.
Tetapi Dia ialah tempat perlindungan kita, tidak kira berapa banyak masalah atau ketidakpastian yang mengelilingi kita. Jalan di hadapan mungkin kelihatan panjang, menakutkan, atau sukar, tetapi kasih-Nya menyelimuti kita. Dia mendengar, menjawab, dan tetap bersama dengan kita … sekarang dan selama-lamanya (Mazmur 91).
Kita dapat merangkul ketenangan dan bersandar pada kasih setia dan hadirat Tuhan yang berterusan. Kita boleh berdiam dan beristirahat dalam Dia kerana kita adalah selamat di bawah naungan kesetiaan-Nya yang tidak berubah (ayat 4).