Tindakan berani askar Tentera Darat Amerika Syarikat, Desmond Doss dipaparkan dalam filem tahun 2016, Hacksaw Ridge. Kepercayaan Doss melarang dia meragut nyawa manusia, tetapi sebagai seorang tentera perubatan, dia berkomitmen untuk menyelamatkan nyawa walaupun dia menghadapi risiko keselamatan sendiri. Kata-kata penghargaan terhadap Doss di Majlis Pingat Kehormatan pada 12 Oktober 1945 termasuklah: “Prebet Kelas Pertama Doss menolak untuk mencari perlindungan dan tetap berada di medan peperangan yang dihujani peluru, membawa askar-askar lain satu demi satu ke tepi lereng curam. … Dia tanpa ragu-ragu mengharungi letupan bom dan tembakan-tembakan musuh untuk membantu seorang pegawai artileri.”

Dalam Mazmur 11, keyakinan Daud bahawa Tuhan ialah tempat perlindungannya telah membantunya supaya tidak melarikan diri, melainkan menghadapi musuh-musuhnya (ayat 2–3). Empat perkataan yang sederhana menyatakan imannya: “TUHAN akan melindungi aku” (ayat 1). Keyakinan yang berakar umbi itu telah mendorong tindakannya yang berani.

Kata-kata Daud dalam ayat 4-7 meninggikan kebesaran Tuhan. Ya, kehidupan kadang-kadang boleh menjadi seperti medan perang, dan serangan bom membuat kita berlari rebah bangun untuk mendapatkan perlindungan ketika kita dihujani oleh cabaran kesihatan atau tekanan dari segi kewangan, hubungan, dan kerohanian. Jadi, apa yang harus kita lakukan? Akuilah bahawa Tuhan adalah raja alam semesta (ayat 4); nikmatilah kemampuan-Nya yang luar biasa untuk menghukum orang dengan adil (ayat 5–6); dan lakukanlah apa yang benar, adil dan saksama untuk menyenangkan hati-Nya (ayat 7). Kita boleh berlari dengan pantas kepada Tuhan untuk mendapatkan perlindungan!