Dengan berganding tangan, saya dan cucu saya berlari-lari anak dari tempat letak kereta untuk mencari pakaian istimewa bagi semester sekolah baru. Sebagai seorang kanak-kanak prasekolah, dia sangat teruja dengan segala-galanya, dan saya bertekad untuk menjadikan kegembiraannya berganda. Saya baru sahaja melihat tulisan demikian pada kole kopi, “Nenek merupakan ibu yang ada banyak aising.” Aising mengandungi maksud seronok, gilang dan sukacita! Itulah huraian tugas saya sebagai neneknya, bukan? Namun peranan nenek adalah lebih daripada ini.
Dalam surat kedua kepada anak rohaninya Timotius, Paulus menyebut tentang imannya yang tulus—dan kemudian memberikan penghargaan kepada nenek Timotius, Lois, dan ibunya, Eunike yang menurunkan iman kepada Timotius (2 Timotius 1:5). Wanita-wanita ini memperlihatkan iman dalam hidup mereka sehingga Timotius turut percaya kepada Yesus. Sudah pastinya, Lois dan Eunike mengasihi Timotius dan memberinya penjagaan. Bagaimanapun, jelasnya mereka berbuat lebih banyak daripada itu. Paulus menyatakan bahawa iman yang dimiliki mereka kemudian menjadi dasar iman Timotius.
Tugas saya sebagai nenek termasuklah mencari pakaian istimewa ketika pembukaan sekolah. Tetapi selain itu, saya dipanggil untuk mewujudkan saat-saat yang menarik ketika berkongsi iman: Menundukkan kepala ketika berdoa mensyukuri nuget ayam. Memerhatikan pembentukan aneka awan yang menakjubkan di langit sebagai karya seni Tuhan. Bersama-sama menyanyikan lagu tentang Yesus yang berkumandang di radio. Mari kita terdorong oleh teladan ibu dan nenek Timotius, iaitu Eunike dan Lois agar iman kita menjadi unsur tarikan dalam hidup sehingga orang lain juga akan turut menginginkan iman yang kita miliki.