Ketika seekor anak kucing yang bernama Radamenes sakit tenat, kucing itu ditinggalkan di pusat perlindungan haiwan. Anak kucing tersebut dirawat sehingga sihat lalu dipelihara oleh doktor haiwan itu. Kemudian, Radamenes pun menjadi penghuni sepenuh masa di pusat perlindungan itu dan sekarang meluangkan masa untuk “menghiburkan” kucing-kucing dan anjing-anjing lain yang baru menjalani pembedahan atau sedang beransur pulih daripada penyakit—melalui kehadiran yang mesra dan bunyi ngiau yang lembut.
Cerita itu satu gambaran kecil tentang apa yang dilakukan Tuhan untuk kita—dan apa yang dapat kita lakukan untuk orang lain sebagai balasan. Dia menjaga kita sewaktu kita sakit atau bergelut dengan masalah, dan Dia memberikan ketenangan kepada kita dengan hadirat-Nya. Dalam 2 Korintus, Rasul Paulus menyebut Tuhan kita sebagai “Bapa yang berbelas kasihan dan Dia Allah yang sentiasa menolong kita” (1:3). Apabila kita berputus asa, sedih, atau teraniaya, Dia ada di situ demi kita. Apabila kita berpaling kepada-Nya dalam doa, Dia “menolong [kita] semasa [kita] mengalami kesusahan” (ayat 4).
Akan tetapi, ayat 4 bukan setakat itu. Paulus yang sudah melalui penderitaan yang sangat teruk terus berkata, “dengan pertolongan yang kami terima daripada Allah, kami pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan.” Tuhan Bapa menghiburkan kita dan setelah kita mengalami penghiburan-Nya, kita pun mampu menghiburkan orang lain.
Penyelamat kita yang penuh belas kasihan dan menderita untuk kita, mampu sekali untuk menghiburkan kita sewaktu kita menderita dan berdukacita (ayat 5). Dia menolong kita menghadapi penderitaan dan melengkapi kita untuk memberikan penghiburan kepada orang lain.
ILHAM
Cendekiawan Alkitab percaya bahawa Paulus telah menulis sekurang-kurangnya 4 surat kepada kumpulan orang percaya yang menghadapi pergelutan di Korintus. Dalam 1 Korintus 5:9–11, Paulus secara tidak langsung mengatakan bahawa dalam surat yang sebelumnya, dia telah memberikan amaran supaya jangan bergaul dengan “orang yang mengaku dirinya orang Kristian, tetapi sebenarnya cabul atau tamak, atau menyembah berhala, atau mengumpat orang, pemabuk ataupun penipu.” Dalam 2 Korintus 2, Paulus menyebut surat yang dituliskannya pada waktu di antara 1 dan 2 Korintus. “Aku menulis kepada kamu dengan hati yang sedih dan berat, dan dengan mencucurkan air mata,” katanya mengenai surat itu (ayat 4). Dengan ketara, dia menggunakan kata-kata yang kuat untuk membetulkan masalah tidak bermoral yang berlaku di gereja. Ini juga membantu kita mengerti kata-kata pembuka dalam 2 Korintus, iaitu surat terakhir antara empat surat Paulus. Kata-kata Paulus yang penuh penghiburan dan dorongan dalam 1:3-7 menunjukkan kasih dan kepemimpinannya yang tulus.Layarilah ChristianUniversity.org/NT 224 (bahasa Inggeris) untuk mempelajari selanjutnya mengenai 1&2 Korintus.