Mungkin lembu itu merupakan “lembu hitam” terbesar dalam sejarah. Kami tidak tahu sama ada namanya ialah Daisy, Madeline, ataupun Gwendolyn (nama-nama yang dicadangkan). Lembu Puan O’Leary dipersalahkan kerana kebakaran besar yang berlaku di Chicago pada tahun 1871, menyebabkan sepertiga daripada penduduk bandar kehilangan tempat tinggal. Akibat tiupan angin kencang ke atas bangunan-bangunan kayu, api berbara selama 3 hari dan meragut nyawa hampir 300 orang.
Selama bertahun-tahun, ramai yang percaya bahawa lembu itu telah menendang sebuah tanglung minyak tanah sehingga mencetuskan kebakaran di kandang. Setelah siasatan lanjut dilaksanakan 126 tahun kemudian—Suruhanjaya Polis dan Bomba di kota itu meluluskan resolusi yang membebaskan lembu tersebut dan pemiliknya daripada tuduhan, serta mencadangkan penyiasatan dibuat terhadap seorang jiran.
Menuntut keadilan sering memakan masa yang lama, dan firman Tuhan memberitahu kita betapa sukarnya hal itu. “Berapa lamakah?” diulang sebanyak 4 kali dalam Mazmur 13: “Berapa lamakah Engkau akan melupakan aku, ya TUHAN? Berapa lamakah Engkau akan bersembunyi daripadaku? Berapa lamakah aku mesti menanggung kesusahan dan berdukacita siang malam? Berapa lamakah musuhku akan menguasai aku?” (ayat 2–3). Namun Daud menemukan iman dan harapan ketika dia mengalami ratapan: “Tetapi aku bergantung kepada kasih-Mu yang abadi; aku akan bergembira kerana Engkau menyelamatkan aku” (ayat 6).
Walaupun keadilan ditangguhkan, kasih Tuhan tetap abadi. Kita boleh percaya dan berehat dalam Dia untuk selama-lamanya.