Pada tahun 1983, 3 remaja ditangkap atas tuduhan pembunuhan seorang budak lelaki berusia 14 tahun. Menurut laporan, remaja itu “ditembak … disebabkan sebuah jaket sukan yang berjenama.” Akibatnya, ketiga-tiga mereka dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Setelah dipenjarakan selama 36 tahun, akhirnya bukti ditemukan dan mendapati mereka tidak bersalah. Rupanya pembunuh adalah orang lain. Sebelum hakim membebaskan mereka, dia mengeluarkan penyataan maaf.
Tidak kira betapa kita berusaha (dan tidak kira berapa banyak usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa), masih ada kekurangan dalam sistem pengadilan manusia. Kita tidak akan memperoleh semua maklumat lengkap. Kadangkala orang yang tidak jujur memanipulasikan fakta. Ada masa juga kita memang salah. Selalunya ia mungkin memakan masa bertahun-tahun untuk membanteras kejahatan, bahkan berlangsung sepanjang hayat kita. Syukurlah bahawa keadilan Tuhan adalah sempurna, tidak seperti manusia yang sentiasa berubah-ubah. “TUHAN pembela kamu yang perkasa,” kata Musa, “Dia sempurna dan adil dalam segala perkara” (Ulangan 32:4). Tuhan melihat segala sesuatu seadanya. Tepat pada waktunya, walaupun manusia melakukan penghakiman yang salah, Tuhan akan melakukan keadilan yang muktamad. Meskipun kita tidak yakin dengan waktunya, kita memiliki keyakinan kerana kita melayani Tuhan yang setia, “tidak ada kecurangan pada-Nya, Dia melakukan yang baik dan yang benar” (ayat 4).
Kita mungkin diselubungi oleh ketidakpastian mengenai perkara yang betul atau salah. Kita mungkin takut bahawa kita akan menderita oleh ketidakadilan atau orang yang kita kasihi tidak dapat dibela. Tetapi kita dapat mempercayai Tuhan yang adil, sehingga suatu hari kelak hidup kita baik sekarang mahupun pada masa yang akan datang, Dialah yang menegakkan keadilan bagi kita.