Rogelio berkhidmat sebagai pelayan kami semasa percutian kami selama seminggu. Dalam satu perbualan, dia bersyukur kepada Yesus kerana memberkatinya Kaly, isterinya yang penuh kasih dan beriman teguh. Setelah bayi pertama mereka lahir, Tuhan memberi mereka peluang untuk membantu menjaga anak buah perempuan mereka yang mempunyai sindrom Down. Tidak lama kemudian, ibu mentua Rogelio juga memerlukan penjagaan khusus.

Namun Rogelio bekerja dengan gembira. Dia sering bekerja 2 syif berturut-turut untuk memastikan isterinya dapat tinggal di rumah dan menjaga orang yang dipercayakan Tuhan kepada mereka. Ketika saya berkongsi bahawa pasangan itu memberi inspirasi kepada saya untuk lebih mengasihi orang kerana cara mereka membuka hati dan rumah mereka untuk melayani ahli keluarga, dia berkata, “Saya gembira dapat melayani mereka … dan kamu.”

Kehidupan Rogelio mengesahkan kuasa dalam kehidupan yang penuh kemurahan hati, dan yang percaya kepada pembekalan Tuhan ketika kita saling melayani tanpa mementingkan diri. Rasul Paulus menggesa umat Tuhan “saling mengasihi dengan mesra … bersukacitalah. Bersabarlah semasa mengalami kesusahan, dan berdoa sentiasa” sebagaimana kita “berkongsi milik dengan saudara seiman yang memerlukan bantuan, dan sambutlah saudara seiman yang tidak kamu kenal ke rumah” (Roma 12:10–13).

Kehidupan kita boleh berubah dengan sekelip mata, sehingga kita atau orang yang kita kasihi berasa mustahil untuk menanggungnya. Tetapi apabila kita bersedia untuk berkongsi semua yang telah diberikan Tuhan kepada kita sementara menantikan Dia, kita dapat berpegang kepada kasih-Nya yang abadi … bersama-sama.