Dalam album foto lama ibu bapa saya, ada sekeping gambar budak lelaki. Mukanya bulat dan berbintik-bintik, rambutnya perang muda dan lurus. Dia suka menonton kartun, membenci buah avokado dan hanya menyimpan album kumpulan muzik ABBA. Dalam album foto itu juga ada gambar-gambar seorang remaja lelaki yang bermuka panjang dan tidak berbintik-bintik, serta rambutnya beralun-alun. Dia suka makan buah avokado, menonton filem dan bukannya kartun, malah tidak akan mengakui memiliki album muzik ABBA! Kedua-dua mereka langsung tiada persamaan. Menurut sains, mereka mempunyai kulit, gigi, darah dan tulang yang berbeza. Tetapi kedua-duanya ialah saya. Paradoks ini telah membingungkan ahli falsafah. Memandangkan kita berubah sepanjang hidup, siapakah kita sebenarnya?

Firman Tuhan memberikan jawapannya. Dari saat Tuhan mula membentuk kita dalam rahim ibu (Mazmur 139:13–14), kita telah berkembang menjadi ciptaan yang unik. Walaupun kita belum dapat membayangkan apa yang kita akan jadi pada akhirnya, kita tahu bahawa jika kita anak-anak Tuhan, kita akhirnya akan menjadi seperti Yesus (1 Yohanes 3:2)—tubuh kita dengan sifat-Nya, keperibadian kita dengan perwatakan-Nya, semua kurnia Tuhan berkilau-kilauan melalui hidup kita, dan semua dosa kita dihapuskan.

Sehingga hari Yesus kembali, kita sedang menuju ke arah masa hadapan ini. Dengan karya-Nya, selangkah demi selangkah, kita dapat memantulkan imej-Nya dengan lebih jelas (2 Korintus 3:18). Kita belum menjadi siapa kita yang sebenarnya, tetapi ketika kita menjadi seperti Dia, kita akan menjadi diri kita yang sebenarnya.