Pada tahun 1797, Sojourner Truth, yang nama lahirnya Isabella Baumfree, dilahirkan dengan status hamba di Esopus, New York. Walaupun hampir semua anaknya dijual sebagai hamba, dia melarikan diri untuk mendapat kebebasan pada tahun 1826 dengan seorang anak perempuannya dan tinggal bersama dengan keluarga yang membayar wang untuk kebebasannya. Oleh sebab dia tidak ingin membiarkan sistem yang tidak adil memisahkan keluarganya, dia mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan kembali anak lelaki bongsunya, Peter—satu pencapaian yang mengagumkan bagi seorang wanita Amerika Afrika pada masa itu. Oleh sebab dia menyedari bahawa dia tidak dapat membesarkan anak-anaknya tanpa pertolongan Tuhan, dia percaya kepada Kristus dan kemudian menukar namanya menjadi Sojourner Truth untuk menunjukkan bahawa hidupnya dibina berdasarkan kebenaran Tuhan.
Raja Salomo, penulis Amsal 14 berkata, “Wanita yang bijak membina rumah tangganya.” Sebaliknya, “wanita yang bodoh meruntuhkan rumah tangganya sendiri” (ayat 1). Metafora bangunan ini menunjukkan kebijaksanaan yang diberikan Tuhan kepada mereka yang bersedia untuk mendengar. Bagaimanakah seseorang membina rumah tangganya dengan bijaksana? Dengan “kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan” (Efesus 4:29; lihat juga 1 Tesalonika 5:11). Bagaimanakah seseorang meruntuhkan rumah tangganya? Amsal 14 memberikan jawapannya: “Orang bodoh yang sombong terhukum oleh kata-kata mereka” (ayat 3).
Sojourner memiliki “keyakinan dan keselamatan” (ayat 26) pada masa yang penuh dengan onak dan duri kerana hikmat yang diperoleh daripada Tuhan. Anda mungkin tidak perlu menyelamatkan anak-anak anda daripada ketidakadilan. Tetapi anda boleh membina rumah tangga anda di atas landasan seperti dilakukan oleh Sojourner, yang berlandaskan hikmat Tuhan.