Doktor memberitahu Rebecca dan Russell bahawa mereka tidak akan beranak. Tetapi Tuhan mempunyai rancangan lain. 10 tahun kemudian, Rebecca mengandung. Pada saat berlakunya kontraksi, pasangan itu bergegas ke hospital. Masa persalinan bertambah lama dan kesakitan semakin kuat, dan badan Rebecca menghadapi masalah untuk melahirkan anak secara normal. Akhirnya, doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan kecemasan. Dalam ketakutan, Rebecca menangis untuk bayi dan dirinya. Dengan tenang, doktor memberi keyakinan kepadanya dan berkata, “Saya akan melakukan yang terbaik, tetapi kita berdoa kepada Tuhan kerana Dia dapat melakukan yang lebih lagi.” Dia mengambil masa berdoa dengan Rebecca. 15 minit kemudian, Bruce, bayi lelaki yang sihat dilahirkan.
Doktor itu memahami betapa pentingnya bergantung penuh kepada Tuhan dan kuasa-Nya. Dia menyedari bahawa walaupun dia memiliki kemahiran untuk melakukan pembedahan, tetapi dia masih memerlukan hikmat, kekuatan dan pertolongan Tuhan (Mazmur 121:1–2).
Sungguh menggembirakan apabila mendengar bahawa orang yang berkemahiran atau sesiapa sahaja, menyedari bahawa mereka memerlukan Tuhan, kerana sememangnya kita memerlukan Dia. Dialah Tuhan. Dia sendiri “dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan” (Efesus 3:20). Dengan rendah hati, marilah kita belajar daripada-Nya dan mempercayai-Nya dalam doa kita, “kerana Dia dapat melakukan lebih” daripada apa yang kita mampu.
ILHAM
Mazmur 121 merupakan salah satu daripada 15 ‘lagu ziarah” yang dinyanyikan oleh orang Israel ketika mereka mendaki bersama-sama ke kota Rumah Tuhan mereka (fasal 120-134). 3 kali setahun, jemaah Yahudi mengembara dalam kumpulan dari merata tempat ke Yerusalem untuk perayaan-perayaan tahunan Paska, Perayaan Pentakosta, dan Perayaan Pondok Daun (Ulangan 16:16). Untuk pengembaraan begini, perkataan-perkataan permulaan dalam Mazmur 121 kelihatan mencerminkan ketakutan dan harapan para pengembara yang mendaki jalan yang berbelok-belok dan berbahaya ke kota Tuhan di puncak bukit. Bagaimanapun, keyakinan mereka bukan terletak pada gunung-gunung ini. Harapan mereka ada dalam Pencipta yang boleh melindungi umat-Nya. Lagu-lagu mereka menggemakan pernyataan Yeremia, “Sia-sia sahaja kami menyembah berhala di atas puncak-puncak bukit! Pertolongan untuk Israel hanya datang daripada TUHAN, Allah kami” (Yeremia 3:23).Layari ChristianUniversity.org/OT020 (bahasa Inggeris) untuk mempelajari lebih mengenai Mazmur.