Bunyi kibasan asyik kedengaran. Saya mendongak dan mencari bunyi itu. Apabila ternampak kotoran di tingkap, saya menjenguk ke luar dan mendapati seekor burung yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Hati saya sakit. Saya ingin sekali menolong makhluk berbulu yang rapuh itu.

Dalam Matius 10, Yesus menggambarkan penjagaan Bapa-Nya ke atas burung pipit untuk menenangkan hati para pengikut-Nya ketika mengingatkan mereka tentang bahaya yang bakal datang. Dia memberikan petunjuk kepada 12 orang pengikut-Nya ketika Dia “memberikan kuasa kepada mereka untuk mengusir roh jahat dan menyembuhkan segala macam penyakit” (ayat 1). Walaupun kuasa untuk melakukan perbuatan itu nampaknya hal yang besar bagi para pengikut-Nya, mereka akan menghadapi banyak tentangan termasuk pihak berkuasa, keluarga sendiri, dan cengkaman orang jahat (ayat 16–28).

Kemudian dalam 10:29–31, Yesus memberitahu mereka agar tidak takut menghadapi apa pun keadaan kerana mereka berada dalam penjagaan Bapa. Dia berkata, “Kamu dapat membeli dua ekor burung pipit dengan mata wang yang paling kecil. Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu … Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.”

Saya memerhatikan burung itu sepanjang hari dan mendapatinya masih hidup walaupun ia tidak bergerak. Kemudian pada lewat malam, burung itu tiada di situ lagi. Saya berdoa agar ia dapat hidup. Jika saya begitu peduli tentang burung itu, pasti Tuhan lebih mempedulikan kita. Bayangkan betapa Dia menjaga anda dan saya!