Ketika rakan saya Marge bertemu dengan Tami dalam satu kelas pembelajaran Alkitab, dia mendapati bahawa mereka tidak mempunyai banyak persamaan. Tetapi Marge berkawan dengan dia dan mendapat satu pelajaran yang berharga daripada rakan barunya itu.

Tami tidak pernah menghadiri kelas Alkitab sebelum ini. Semasa di dalam kelas, dia mengalami kesulitan untuk memahami apa yang dibincangkan oleh wanita-wanita lain: Tuhan berbicara dengan mereka. Bagi dia, ini sesuatu yang tidak pernah dialaminya.

Dia sangat ingin mendengar Tuhan berbicara kepadanya sehingga dia mengambil satu tindakan. Kemudian dia memberitahu Marge, “Saya meletakkan sebuah kerusi kayu lama di sebelah. Setiap kali saya belajar Alkitab, saya meminta Yesus duduk di kerusi itu.” Kemudian Tami menjelaskan bahawa setiap kali ada ayat yang sangat memberkatinya, dia akan menulis ayat itu dengan kapur di atas kerusi tersebut. Kerusi itu telah menjadi “kerusi Yesus” yang istimewa, tempat yang penuh dengan pesan Tuhan secara langsung daripada Alkitab kepadanya.

Marge berkata, “[Kerusi Yesus] telah mengubah kehidupan [Tami]. Dia bertumbuh secara rohani kerana firman Tuhan menjadi pesan peribadinya.”

Semasa berbicara kepada orang percaya berbangsa Yahudi, Yesus berkata, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku. Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan” (Yohanes 8:31–32). Marilah kita berpegang teguh pada ajaran-Nya, sama ada dengan menuliskan ayat-ayat itu di atas kerusi, menghafalnya, atau berusaha mengamalkannya dalam kehidupan. Kebenaran dan hikmat daripada pesan Kristus menolong kita bertumbuh dalam Dia dan membebaskan kita.