Di Perth, Australia, ada sebuah tempat yang dipanggil Rumah Shalom. Ia menjadi tempat yang membekalkan pertolongan kepada orang yang bergelut dengan ketagihan. Para staf di tempat itu dengan penuh kasih memperkenalkan mereka kepada shalom (bermaksud “kesejahteraan” dalam bahasa Ibrani) Tuhan. Kehidupan yang dihancurkan akibat ketagihan dadah, alkohol, perjudian dan tabiat-tabiat lain yang merosakkan telah diubah oleh kasih Tuhan.
Inti transformasi ini ialah mesej dari kayu salib. Orang yang mengalami kegagalan hidup di Rumah Shalom mendapati kehidupan mereka dibangkitkan melalui kebangkitan Yesus. Dalam Kristus, kita memperoleh kesejahteraan dan penyembuhan sebenar.
Kesejahteraan bukan sekadar tiadanya konflik; tetapi wujudnya hadirat Tuhan yang utuh. Semua orang memerlukan shalom yang hanya boleh diperolehi dalam Kristus dan Roh-Nya. Inilah sebabnya Paulus menujukan orang Galatia kepada karya transformasi Roh Kudus. Ketika Roh Kudus bekerja dalam hidup kita, Dia akan menghasilkan buah-Nya yang meliputi kasih, sukacita, kesabaran dan banyak lagi (Galatia 5:22–23). Dia memberi kita kesejahteraan yang sebenar dan kekal.
Oleh sebab Roh Kudus membolehkan kita hidup dalam shalom Tuhan, kita belajar untuk membawa keperluan dan kekhuatiran kita kepada Bapa Syurgawi. Seterusnya, ini akan memberi kita “kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran [kita], kerana [kita] sudah bersatu dengan Kristus Yesus” (Filipi 4:7).
Dalam Roh Kristus, hati kita mengalami shalom yang sejati.