Cuba bayangkan rupa dinosaur ketika makhluk ini masih hidup. Adakah ia bergigi besar, bersisik dan berekor panjang? Seorang seniman bernama Karen Carr, menggambarkan makhluk-makhluk yang sudah pupus ini pada mural-mural yang besar. Ketinggian salah satu karyanya adalah melebihi 6 meter dan panjangnya 18 meter. Disebabkan saiznya, karya seni ini memerlukan sekumpulan pakar untuk memasangnya secara berperingkat dalam beberapa bahagian di Muzium Sejarah Semulajadi Sam Noble Oklahoma.

Kita pasti berasa diri terlalu kerdil apabila berdiri di hadapan mural dinosaur ini. Saya mengalami sensasi yang sama ketika membaca penggambaran Tuhan tentang binatang hebat yang dipanggil “Behemot” (Ayub 40:15). Binatang besar ini mengunyah rumput seperti lembu dan mempunyai ekor seukuran batang pokok. Tulang-tulangnya seperti paip besi. Dia melangkah dengan berat melewati bukit-bukau untuk mencari rumput dan sesekali bersantai di kawasan paya. Walaupun berlakunya banjir, Behemot tidak pernah gentar.

Tiada apa-apa dapat menjinakkan makhluk yang luar biasa ini—kecuali Penciptanya (ayat 19). Tuhan mengingatkan Ayub akan kebenaran ini ketika hidup Ayub dilanda beberapa masalah besar. Kesedihan, kebingungan dan kekecewaan memenuhi skop penglihatan Ayub sehingga dia mula mempersoalkan Tuhan. Tetapi respons Tuhan telah menolong Ayub melihat kenyataan ini. Tuhan lebih besar berbanding semua masalah yang dihadapinya, dan Dia cukup berkuasa untuk mengatasi segala masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh Ayub. Akhirnya Ayub mengakui, “Aku tahu, ya TUHAN, bahawa Engkau dapat melakukan segala sesuatu” (42:2).