Buku bertajuk “A River Runs Through It” merupakan cerita hebat yang ditulis oleh Norman Maclean. Ceritanya mengenai 2 budak lelaki yang membesar di bahagian barat Montana bersama dengan bapa mereka, seorang pastor gereja Presbyterian. Setiap pagi Ahad, Norman dan adiknya, Paul pergi ke gereja untuk mendengar bapa mereka berkhutbah. Petangnya, bapa mereka akan berkhutbah sekali lagi. Pada masa lapang antara 2 sesi itu, mereka bebas untuk bersiar-siar di kawasan perbukitan dan sungai bersama bapa mereka, “sementara si bapa berehat untuk sesi seterusnya.” Bapa mereka sengaja mengasingkan masa untuk “memulihkan jiwanya supaya dipenuhi kelimpahan untuk khutbah waktu petang nanti.”

Dalam seluruh kitab Injil, Yesus mengajar ramai orang di lereng bukit dan kota, serta menyembuhkan orang sakit yang dibawa kepada-Nya. Semua interaksi ini sesuai dengan misi Anak Manusia “untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat” (Lukas 19:10). Tetapi juga diperhatikan bahawa Dia “pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa” (5:16). Dia mengasingkan masa untuk berkomunikasi dengan Bapa agar diperbaharui dan dipulihkan sebelum meneruskan misi pelayanan-Nya.

Dalam usaha setia kita untuk melayani Tuhan, marilah kita ingat bahawa Yesus sering mengasingkan masa bersama dengan Bapa. Jika hal ini penting bagi Yesus, apatah lagi bagi kita. Semoga kita sentiasa meluangkan masa bersama dengan Bapa kita yang dapat memenuhi hidup kita dengan kelimpahan.