Jarum, susu, cendawan, lif, kelahiran bayi, lebah dan lebah dalam mesin pengisar, ini hanyalah sebahagian fobia yang dialami oleh Adrian Monk, seorang detektif dan watak utama dalam rancangan TV Monk. Tetapi ketika dia dan saingan lamanya Harold Krenshaw, dikunci di dalam but kereta, sesuatu yang luar biasa telah berlaku. Monk mampu terbebas daripada salah satu ketakutannya, iaitu klaustrofobia (ketakutan terhadap tempat-tempat sempit).

Sementara Monk dan Harold sedang panik di but kereta, tiba-tiba kesedaran ini terlintas dalam fikiran Monk sehingga mengalihkan perhatiannya daripada fobia itu. Monk berkata kepada Harold, “Aku rasa kita telah salah fokus”. “But kereta, dinding ini … tidak mengurungkan kita … tetapi melindungi kita. Ia melindungi kita daripada benda-benda yang buruk … kuman, ular dan harmonika.” Dengan mata terbeliak, Harold memahami maksudnya dan dia berbisik dengan rasa kagum, “But ini ialah kawan kita.”

Dalam Mazmur 63, Daud seolah-olah mempunyai kesedaran yang serupa. Meskipun berada di “tanah tandus [yang] haus akan air”, Daud mengingati kekuatan, kemuliaan dan kasih Tuhan (ayat 1–3), seakan-akan padang gurun berubah menjadi tempat penjagaan dan perlindungan Tuhan. Umpama anak burung yang bersembunyi di bawah naungan sayap induk, Daud mendapati bahawa ketika dia berpaut kepada Tuhan, bahkan di tempat tandus sekalipun, “[jiwanya] dijamu dan dipuaskan” (ayat 6); dia boleh mendapat khasiat dan kekuatan kerana kasih Tuhan “lebih berharga daripada hidup” (ayat 4).