Clifford Williams dijatuhi hukuman mati untuk kes pembunuhan yang tidak dilakukannya. Di ambang maut, dia cuba mengemukakan surat rayuan untuk mempertimbangkan semula bukti terhadapnya tetapi sia-sia. Selama 42 tahun, setiap surat rayuannya ditolak. Kemudian seorang peguam bernama Shelley Thibodeau menyiasat semula kesnya. Shelley mendapati bahawa bukan sahaja tidak ada bukti kukuh untuk menyabitkan kesalahan Williams, tetapi seorang lelaki lain telah mengakui melakukan jenayah tersebut. Pada usia 76 tahun, Williams akhirnya dibersihkan daripada segala tuduhan dan dibebaskan.

Nabi Yeremia dan nabi Uria juga telah mengalami masalah besar. Mereka memberitahu orang Yehuda bahawa Tuhan berjanji akan menghakimi umat-Nya jika mereka tidak bertaubat (Yeremia 26:12-13, 20). Ini telah menimbulkan kemarahan orang Yehuda serta para pemimpinnya dan mereka berkomplot untuk membunuh kedua-dua nabi itu. Uria melarikan diri ke Mesir, tetapi dibawa kembali untuk menghadap raja yang kemudian “menyuruh orang membunuh dia” (ayat 23). Mengapakah mereka tidak membunuh Yeremia? Sebahagian alasan kerana “[Yeremia] mendapat pertolongan Ahikam anak Safan, oleh itu [Yeremia] tidak diserahkan kepada rakyat untuk dibunuh” (ayat 24).

Kita mungkin tidak mengenal sesiapa yang sedang berhadapan dengan kematian, tetapi kita mengenal seseorang yang memerlukan sokongan. Hak siapakah yang dirampas? Bakat siapakah yang disingkirkan? Seruan siapakah yang tidak didengar? Mungkin bertindak seperti Thibodeau atau Ahikam, yang mengambil risiko untuk memberikan sokongan kepada orang lain, tetapi inilah tindakan yang betul. Siapakah yang memerlukan sokongan kita sebagaimana Tuhan menuntun kita?